PETALING JAYA : Pegawai tentera yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kemalangan maut di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) disambung reman sehingga esok.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, tempoh reman itu disambung dua hari lagi selepas reman terdahulu tamat semalam.
“Kertas siasatan kes berkenaan sedang dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya esok pagi bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, setakat ini polis sudah merakam keterangan 12 individu bagi membantu siasatan.
Pada 23 April lalu, suspek yang memandu Ford Fiesta dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh Perodua Alza digunakan sebagai kenderaan e-hailing di lorong kiri.
Kenderaan e-hailing itu membawa dua penumpang warga Bangladesh yang juga pasangan suami isteri dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Penumpang lelaki berusia 22 tahun yang duduk di bahagian tengah kerusi penumpang cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Manakala seorang penumpang wanita berusia 20 tahun cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Pemandu e-hailing mengalami kecederaan di kepala, manakala pegawai tentera berkenaan dan seorang penumpang wanita berusia 36 tahun dalam keretanya juga cedera.
Keputusan ujian pernafasan terhadap pemandu Ford Fiesta itu mendapati bacaan alkohol melebihi had dibenarkan, manakala ujian dadah menunjukkan keputusan negatif.
Ekoran itu, pegawai tentera berpangkat Kapten berusia 31 tahun itu ditahan dan direman lima hari sehingga semalam, dengan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.-UTUSAN










