Lima klinik diserbu guna vaksin tifoid tidak berdaftar - Utusan Malaysia

Lima klinik diserbu guna vaksin tifoid tidak berdaftar

Vaksin tidak berdaftar
SEBAHAGIAN vaksin tifoid tidak berdaftar dirampas JKNS dekat lima buah klinik swasta di seluruh Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan lima klinik perubatan swasta di negeri ini menggunakan vaksin tifoid tidak berdaftar mengundang padah apabila diserbu Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) pada minggu lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, operasi itu dilakukan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) JKNS  dan melibatkan rampasan bernilai RM12,000 selepas menerima aduan dan maklumat orang awam.

“lndividu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Jualan Dadah 1952 iaitu denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak lebihi tiga tahun. 

“Syarikat yang melakukan kesalahan sama pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 di bawah akta tersebut,” katanya, hari ini.

Beliau menambah, hasil pemeriksaan mendapati lima klinik itu menggunakan vaksin tifoid tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kementerian Kesihatan Malaysia (PBKD KKM). 

Tambah Sha’ari, suntikan vaksin tifoid bertujuan mencegah penyakit demam kepialu dan merangsang sistem imunisasi badan dalam menghasilkan antibodi melawan jangkitan bakteria ‘Salmonella typhi’.

“Keluaran vaksin tanpa berdaftar dengan PBKD KKM tidak terjamin dari segi keberkesanan, keselamatan dan kualitinya. CPF JKNS merampas vaksin itu yang bernilai lebih RM56,000 dalam tempoh 2021 hingga tahun ini,” jelasnya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai membeli dan menggunakan ubatan atau produk kesihatan berdaftar dengan PBKD KKM.

“Mereka juga digalakkan mengemukakan aduan dan maklumat meragukan kepada kementerian bagi bersama membanteras penjualan berkenaan.

“Ia boleh disalurkan melalui http://www.pharmacy.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di http://moh.spab.gov.my dan hubungi talian 03-78413200,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN