PETALING JAYA: Pelaksanaan bekerja dari rumah melibatkan penjawat awam dan kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mampu menjimatkan penggunaan bahan api sehingga RM10.03 bilion setahun.
Anggaran itu mengambil kira kira-kira 1.6 juta penjawat awam dan 500,000 pekerja GLC dengan penggunaan purata 200 liter petrol RON95 sebulan pada harga RM1.99 seliter.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, penjimatan berskala besar itu bukan sahaja mengurangkan penggunaan bahan api negara, malah membantu mengurangkan beban subsidi kerajaan dan memberi manfaat langsung kepada ekonomi serta rakyat.
Katanya, peningkatan kos pengangkutan untuk berulang-alik ke tempat kerja akan membebankan pekerja dan boleh menyebabkan mereka berdepan kesukaran mengurus untuk kewangan.
“Secara purata penggunaan RON95 adalah sekitar 200 liter sebulan, namun mungkin jumlah itu kurang sekitar 100 hingga 100 liter. Tetapi dengan pelaksanaan dasar bekerja daripada rumah ini, ia dapat mengurangkan penggunaan minyak kenderaan.
“Ia bukan sahaja menjimat perbelanjaan isi rumah, namun dapat membantu penggunaan bahan api terutamanya ketika dunia berdepan krisis bekalan minyak untuk menampung penggunaan harian ekoran krisis Asia Barat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan dasar bekerja dari rumah mulai 15 April ini yang membabitkan kementerian, agensi dan badan berkanun serta GLC.
Kebanyakan negara termasuk di Eropah dan Asia Tenggara telah mengambil pendekatan bekerja dari rumah sebagai alternatif kepada kenaikan harga bahan api global ekoran konflik perang antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Dalam pada itu, Kamarul Baharin berkata, MTUC menjangkakan banyak syarikat swasta akan mengikut saranan kerajaan untuk melaksanakan bekerja dari rumah bagi mengurangkan penggunaan bahan api.
Namun katanya, pelaksanaan dasar itu perlu dibuat secara teratur melalui rundingan bersama kesatuan sekerja.
“Rundingan itu penting bagi membincangkan kaedah pelaksanaan termasuk keperluan kemudahan serta aspek keselamatan pekerja selain memberi pilihan kepada pekerja sama ada bersetuju atau menolak bergantung kepada persekitaran rumah masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, pelaksanaan bekerja dari rumah perlu dilaksanakan secara terkawal supaya tidak menjejaskan kelancaran perkhidmatan awam.
Katanya, pendekatan bekerja tiga hari secara bersemuka dan dua hari dari rumah dilihat lebih sesuai berbanding pelaksanaan sepenuhnya.
“Jika dilaksanakan sepanjang minggu, produktiviti berisiko terjejas. Pendekatan 3+2 bukan sahaja mengekalkan produktiviti, malah membantu meringankan beban kos bahan api yang semakin meningkat.
“Petugas barisan hadapan seperti di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu hadir lima hari seminggu kerana tugas mereka memerlukan kehadiran fizikal.
“Sebaliknya, jabatan yang lebih banyak menjalankan urusan pentadbiran di belakang tabir seperti sumber manusia dan pengurusan boleh memanfaatkan dua hari bekerja dari rumah,” katanya.
Tambah beliau, petugas barisan hadapan yang tidak berpeluang bekerja dari rumah wajar diberikan elaun sementara sekurang-kurangnya RM150 sebulan bagi membantu menampung sebahagian kos perbelanjaan mereka.










