KUALA LUMPUR: Perjalanan lima tahun rumah tangga pasangan selebriti, Yusuf Bahrin, 33, dan Zizi Kirana, 41, menemui titik penghujung apabila keduanya disahkan bercerai talak satu semalam.
Yusuf atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Bahrin, melafazkan cerai ke atas Zizi dalam prosiding yang diadakan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling kira-kira pukul 9.30 pagi semalam.
“Prosiding hari ini (semalam) adalah berkenaan satu permohonan cerai di bawah seksyen 47, yang mana permohonan itu dipersetujui kedua pihak.
“Lafaz cerai talak satu secara raj’i oleh Yusuf telah direkodkan di hadapan hakim Tuan Muhammad Syaifullah Hamza.
“Prosiding ini berjalan lancar dan semuanya telah selesai,” kata peguam syarie mewakili Zizi yang dikenali sebagai Haiza.
Zizi dan Yusuf memberi bayangan berlaku pergolakan rumah tangga apabila keduanya menyambut Hari Raya Aidilfitri secara berasingan pada tahun ini.
Yusuf berkongsi foto bersama ahli keluarganya tanpa kehadiran Zizi, sekali gus mengundang banyak tanda tanya mengenai status perkahwinan mereka.
Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil yang ditemui di mahkamah semalam tidak mengulas panjang mengenai perceraian tersebut.
“Tiada komen lanjut, Alhamdulillah semuanya sudah selesai,” katanya ringkas.
Yusuf dalam pada itu berkata dia reda dengan pengakhiran rumah tangganya dan berharap doa yang baik daripada semua pihak untuk dia dan bekas isterinya.
“Tiada pasangan suami isteri yang mahu bercerai. Tapi dalam kisah hidup kami, inilah pengakhirannya.
“Saya sendiri tidak pernah jangka, apatah lagi tahu yang perceraian ini akan berlaku dalam hidup saya.
“Kami sudah melakukan yang terbaik dan sedaya upaya mempertahankan perkahwinan kami. Tapi ia jadi begini.
“Kami bagaimanapun berpisah secara baik, tiada dendam atau bermasa muka. Alhamdulillah, saya harapkan doa daripada kalian untuk kebahagiaan kita semua,” katanya.
Spekulasi mengenai keretakan rumah tangga bekas suami isteri itu mula bertebaran apabila keduanya tidak lagi berkongsi foto dan video bersama selain tidak lagi mengikuti satu sama lain di media sosial.
Zizi dan Yusuf mendirikan rumah tangga pada September 2021. Mereka bagaimanapun tidak dikurniakan cahaya mata. – UTUSAN










