Trump ikrar hancurkan Iran, Teheran tekad akan serang balas

Trump ikrar hancurkan Iran, Teheran tekad akan serang balas

RIBUAN rakyat Iran menghadiri upacara pengebumian Komander Tentera Laut Pengawal Revolusi Iran, Alireza Tangsiri, bersama mangsa lain yang terkorban dalam serangan Amerika Syarikat-Israel di Dataran Enghelab, Teheran, Iran, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berikrar melancarkan serangan tanpa henti ke atas Iran dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang ketika konflik antara kedua-dua negara terus memuncak.

Bagaimanapun, Iran memberi amaran akan bertindak balas dengan serangan balas yang lebih dahsyat terhadap AS dan sekutunya, Israel susulan kenyataan Trump itu.

Ketegangan terbaharu itu turut mencetuskan kebimbangan pasaran global apabila harga minyak melonjak lebih AS$104 setong, manakala pasaran saham dunia terus merosot.

Trump berikrar untuk meneruskan serangan agresif ke atas Iran meskipun tidak memperincikan bagaimana pepera­ngan itu akan ditamatkan.

Beliau turut menegaskan operasi ketenteraan AS kini hampir mencapai objektif utama dan akan diselesaikan dalam masa terdekat.

“Dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang, kita akan membawa mereka kembali ke Zaman Batu, tempat mereka sepatutnya berada.

“Kita akan menyelesaikan tugas ini dan melakukannya dengan sangat cepat. Kita semakin hampir,” katanya semalam.

Susulan kenyataan itu, harga minyak Brent melonjak hampir tujuh peratus kepada AS$104 setong, manakala West Texas Intermediate meningkat lebih enam peratus kepada sekitar AS$106.75 setong.

Pasaran ekuiti global turut terkesan apabila kebanyakan bursa utama mencatatkan penurunan, termasuk di Asia dan Eropah yang dibuka rendah.

Trump berkata, antara sasaran utama operasi itu adalah untuk melumpuhkan keupayaan ketenteraan Iran, menamatkan sokongan terhadap kumpulan bersenjata serantau serta menghalang negara itu daripada memperoleh senjata nuklear.

Beliau turut mendakwa objektif strategik tersebut kini hampir tercapai walaupun konflik masih berlanjutan.

Trump sekali lagi memberi amaran akan menyasarkan infrastruktur tenaga Iran sekiranya tiada penyelesaian dicapai dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan sama, Iran dilaporkan mengambil langkah menguasai Selat Hormuz, laluan strategik yang menjadi nadi kepada hampir satu perlima bekalan minyak dunia.

Pusat komando tentera Iran, Khatam Al-Anbiya menegaskan AS dan Israel bakal berdepan tindakan lebih meluas dan dahsyat sekiranya konflik berterusan.

Katanya, Teheran bertindak balas dengan memberi amaran akan melancarkan serangan balas terhadap AS dan Israel, termasuk melancarkan peluru berpandu ke arah Tel Aviv.

“Kami akan terus berperang sehingga kamu mengalami kehinaan, penyesalan dan akhirnya menyerah kalah,” menurut kenyataan yang disiarkan televisyen negara itu.

Konflik yang berlarutan sejak Februari lalu itu terus memberi tekanan kepada ekonomi global, termasuk peningkatan kos tenaga, gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan pasaran kewangan.

Sementara itu, Bank Dunia memberi amaran krisis tersebut boleh memberi kesan serius terhadap inflasi, pekerjaan dan keselamatan makanan global.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN