PETALING JAYA: Kebersamaan antara kerajaan, industri dan rakyat menjadi kunci penentu kejayaan Malaysia untuk mengharungi krisis ekonomi yang wujud akibat konflik global di Asia Barat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, situasi yang berlaku pada masa kini memerlukan usaha bersama seluruh negara dengan tiga tekad iaitu disiplin, kerjasama dan keyakinan bersama bagi menyerap tekanan ekonomi akibat peperangan daripada terus meruncing.
Katanya, kerajaan akan terus memastikan bekalan tenaga negara terus terjamin, bekerjasama rapat dengan industri dan membendung tekanan kenaikan harga sedaya upaya.
Namun, katanya, kejayaan negara untuk mengharungi krisis tidak hanya bergantung kepada kerajaan sebaliknya peranan semua pihak.
“Saya menyeru kepada rakyat dan komuniti perniagaan untuk bersama kerajaan dalam menggunakan tenaga secara berhemah, mengelakkan pembaziran, dan memastikan setiap penggunaan adalah perlu dan efisien.
“Dalam menghadapi cabaran global seperti ini, kekuatan kita terletak pada disiplin, kerjasama dan keyakinan bersama. Dengan usaha bersama, Insya-Allah, Malaysia akan terus kekal stabil dan berdaya tahan,” katanya dalam Taklimat Krisis Tenaga Global semalam.
Fadillah berkata, keutamaan kerajaan pada masa kini adalah untuk menjamin bekalan tenaga iaitu petroleum kekal mencukupi dan stabil dengan bersama Petronas serta syarikat industri untuk memantau rantaian bekalan setiap hari.
Katanya, pelan kontingensi juga telah disediakan bagi memastikan kelangsungan bekalan dalam apa jua keadaan, termasuk mendapatkan bekalan daripada pasaran alternatif sekiranya gangguan berpanjangan berlaku.
“Hasil daripada penyelarasan ini, bekalan petroleum negara kekal mencukupi dan stabil, rantaian bekalan dipantau secara harian, dan pelan kontingensi sentiasa bersedia serta dikemas kini.
“Pada masa yang sama, kerajaan komited untuk melindungi rakyat. Harga RON95 bersubsidi dikekalkan pada RM1.99 seliter, manakala penyelarasan harga bahan api tidak bersubsidi dilakukan secara terkawal dan berperingkat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan mengadakan sesi libat urus secara konsisten dengan pemegang taruh dari pelbagai sektor bagi mendapatkan maklum balas secara masa nyata serta menyelaras tindakan dengan pantas supaya memastikan kestabilan bekalan dan pasaran kekal terpelihara.
Katanya, walaupun harga minyak global meningkat, kerajaan mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter.
“Bagi diesel, perlindungan terus diberikan melalui SKPS (Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi) kepada sektor logistik pada harga RM2.05 seliter, manakala bagi SKDS (Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi) RM1.88 seliter untuk pengangkutan awam dan RM2.15 seliter untuk pengangkutan darat barangan,” katanya. – UTUSAN










