MELAKA: Hampir 5,000 orang tanpa mengira usia menyertai Himpunan Sejuta Pembela Palestin di pekarangan Stadium Hang Jebat di sini, hari ini.
Lebih menarik himpunan itu turut menarik minat pelbagai bangsa termasuk warga asing yang berpakaian putih, mengibar bendera Palestin, memakai mafla dan ada yang mewarnakan muka dengan warna hijau, putih serta merah.
Sejak pukul 7.00 pagi, orang ramai mula berhimpun sambil melaungkan ‘hidup Palestin’ dan ‘hancurkan Zionis’ bagi menyatakan solidariti terhadap nasib penduduk Palestin di Gaza yang ditindas rejim Zionis.
Pelbagai sepanduk dibawa orang ramai yang berhimpun di hadapan pentas utama, tidak terkecuali kanak-kanak yang memakai mafla sambil melaungkan ‘hidup Palestin’.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh hadir bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan kepemimpinan kerajaan negeri kira-kira pukul 9.30 pagi.
Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri tidak menghalang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan perhimpunan solidariti untuk menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin.
“Mana-mana NGO boleh adakan himpunan tetapi mereka mestilah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan pihak berkuasa. Saya amat mengalu-alukan kepada seluruh rakyat di negeri ini agar suara untuk rakyat Palestin disuarakan di seluruh negeri tanpa mengira bangsa,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, seorang penjawat awam, V. Surega, 27, berkata, dia menyertai himpunan itu kerana simpati dengan nasib penduduk Palestin yang diserang tanpa belas ihsan.
“Video tular di media sosial melihat kanak-kanak dan bayi meninggal dunia, selain yang cedera parah benar-benar menyentuh hati dan perasaan saya. Kekejaman rejim Zionis ini langsung tidak ada sifat perikemanusiaan dan berhati perut, mereka sangat zalim,” katanya.
Seorang lagi peserta, Muhammad Adam, 38, berasal dari Yangon, Myanmar berkata, dia bersama isterinya warga tempatan tiba seawal pukul 7.00 pagi bagi menyatakan sokongan kepada umat Islam Palestin.
“Saya tersentuh hati melihat ramai rakyat Palestin meninggal dunia dalam peperangan yang berlaku di Gaza. Saya sedih melihat nasib mereka,” katanya. – UTUSAN