Juruterbang tentera diarah bayar ganti rugi RM235,000 - Utusan Malaysia

Juruterbang tentera diarah bayar ganti rugi RM235,000

GAMBAR fail jet F-15K milik Tentera Udara Korea Selatan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Seorang juruterbang pesawat pejuang Korea Selatan diarahkan membayar 88 juta won (RM235,000) sebagai ganti rugi susulan insiden perlanggaran udara pada 2021 kerana tindakannya cuba merakam gambar dan video dirinya ketika terbang, menurut laporan rasmi pada Rabu.

Juruterbang yang identitinya tidak didedahkan itu mahu merakam detik penerbangan terakhirnya sebelum ditugaskan semula, menurut laporan oleh Lembaga Audit dan Pemeriksaan.

Ketika terbang pada kelajuan 578 kilometer sejam, beliau meminta juruterbang pesawat kedua dan seorang rakan lain merakamkan gambar dirinya menggunakan telefon.

Bagi mendapatkan rakaman terbaik, beliau bertindak memusingkan jetnya dan terbang hampir dengan pesawat lain, menyebabkan kesilapan pengiraan hingga ekor pesawatnya, penstabil mendatar di bahagian belakang.

Ia menyebabkan jetnya berlanggar dengan sayap pesawat lain.

Tiada kematian dilaporkan, namun tindakan tidak dibenarkan itu menyebabkan kerosakan bernilai 878 juta won (RM2.3 juta).

Kementerian pertahanan pada awalnya mengarahkannya membayar keseluruhan jumlah, tetapi beliau membuat rayuan yang mengurangkan liabilitinya kepada 10 peratus daripada jumlah kos pembaikan.

Lembaga itu mengambil kira bahawa juruterbang lain sebelum ini pernah melakukan rakaman dalam penerbangan dan beliau masih berjaya mengawal pesawat dengan selamat serta kembali ke pangkalan tanpa menyebabkan kerosakan tambahan.

Walaupun laporan tidak menyatakan jenis pesawat, agensi berita Yonhap News Agency melaporkan ia adalah F-15K. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN