Kerajaan negeri tidak campur tangan tender Pakej 2 projek LRT

Kerajaan negeri tidak campur tangan tender Pakej 2 projek LRT

CHOW Kon Yeow ketika berucap sempena majlis perasmian Kampus ATE di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang tidak terlibat dalam pemilihan syarikat bagi Pakej 2 Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, kerana proses tender diurus sepenuhnya oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri hanya berperanan sebagai pemegang taruh penting dalam projek tersebut dan terlibat dalam Jawatankuasa Procurement One Stop Centre.

“Kerajaan negeri tidak terlibat dalam proses tender. Ini semua di bawah pemilik projek iaitu MRT Corp,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kampus Automasi, Ujian dan Peralatan (ATE) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Sebelum itu, terdapat dakwaan bahawa berlaku kelewatan dalam proses tawaran Pakej 2 bagi projek berkenaan susulan campur tangan dan lobi politik. Satu kumpulan penender dilaporkan melobi Kementerian Pengangkutan, manakala kumpulan lain mendekati Kementerian Kewangan.

Kon Yeow berkata, pihak MRTC akan membuat penilaian terhadap semua tender yang diterima sebelum mengemukakan cadangan kepada jawatankuasa berkenaan untuk dipertimbangkan.

“Apabila MRT Corp sudah buat penilaian dan akan membuat rekomendasi kepada One Stop Procurement Centre ini, saya boleh katakan belum sampai tahap untuk buat tawaran lagi,” katanya.

Mengenai dakwaan wujud campur tangan politik dalam proses tender, beliau berkata, pihaknya tidak berada dalam kedudukan untuk mengesahkan perkara tersebut, malah turut menolak dakwaan kelewatan projek berpunca daripada isu itu kerana perlaksanaan ia berjalan mengikut jadual.

“Tidak ada kelewatan pun sebab walaupun pakej yang sudah ditawarkan seperti kerja-kerja struktur sedang dilaksanakan, pembinaan pier (tiang) masih berjalan. Takkan kita nak bina trek kalau pier itu pun belum siap,” katanya.

Beliau berkata, dakwaan kelewatan akibat campur tangan politik adalah tidak berasas berdasarkan perkembangan semasa projek.

Projek LRT Pulau Pinang inisiatif terbesar di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, merangkumi laluan hampir 30 km dari Silicon Island berhampiran Zon Perindustrian Bayan Lepas ke Penang Sentral, Butterworth. la akan menjadi penghubung utama bagi pekerja dari tanah besar ke hab industri di pulau itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN