Langkah tangani jerebu dibahas di Parlimen Isnin ini - Utusan Malaysia

Langkah tangani jerebu dibahas di Parlimen Isnin ini

NIK Nazmi Nik Ahmad melihat model skala Loji Rawatan Kumbahan Serantau (RSTP) Papan 2, di Pusing, Batu Gajah hari ini. UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Langkah bagi menangani isu jerebu di negara ini akan dibahaskan di Parlimen pada Isnin ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya akan memberikan status terkini langkah menangani isu jerebu pada hari tersebut.

“Selain saya memberikan penerangan, Ahli Parlimen akan membahaskan langkah bagi menangani jerebu sama ada dari pihak kerajaan ataupun pembangkang.

“Kita juga akan melihat apa tanggungjawab atau langkah yang mereka akan bangkitkan. Hari Isnin ini kita akan beritahu status terkini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Kumbahan Serantau RSTP Papan 2.

Sebelum ini, kerajaan sudah menghantar surat kepada Indonesia dan negara-negara Asean lain yang terkesan kejadian jerebu rentas sempadan sekali gus menangani masalah itu.

Menerusi laporan itu, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, surat itu dihantar kepada Indonesia dan negara-negara Asean selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkoordinasi dengan rakan sejawatnya bagi menangani masalah berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau (RSTP) Papan 2 di sini mampu memberi manfaat kepada kira-kira 1.5 juta penduduk.

Menurutnya, projek bernilai RM452,537,600 itu disiapkan dalam tempoh enam tahun, merangkumi kerja-kerja tambahan di luar kontrak dan jumlah penduduk setara bagi keseluruhan kawasan tadahan dianggarkan meningkat kepada 1.5 juta penduduk menjelang tahun 2045.

“Loji ini mampu merawat kumbahan dari kawasan seluas 18.5 hektar di mukim Belanja, daerah Kinta, merangkumi kawasan tadahan pembetungan seluas 195 km persegi di kawasan pusat bandar Ipoh, sebahagian kawasan Gunung Rapat dan Menglembu,” katanya.

Menurutnya, loji itu mengguna pakai sistem rawatan extended aeration, yang akan menerima aliran kumbahan dari Projek Pembinaan Rangkaian Paip Pembetungan di Pusat Bandar Ipoh, sebahagian kawasan Gunung Rapat dan Menglembu.

“Pembinaan loji ini bukan sahaja dapat mengurangkan masalah berkaitan sistem rawatan kumbahan sedia ada yang bersaiz kecil dan tidak efisien, malah membolehkan penyambungan ke sistem rangkaian paip pembetungan daripada kawasan-kawasan pembangunan baharu.

“Projek ini juga mampu mengurangkan potensi pencemaran sungai dan menjamin kelestarian sumber air,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN