Kon Yeow kekal tenang, sering bertemu Guan Eng ketika mesyuarat - Utusan Malaysia

Kon Yeow kekal tenang, sering bertemu Guan Eng ketika mesyuarat

CHOW Kon Yeow ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Pelaburan Sektor Agromakanan Malaysia dan Pelancaran Lembah Teknologi Sedusun (STV) di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Keow menegaskan beliau sering bertemu dengan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng semasa mesyuarat mingguan dan bulanan parti.

Beliau yang juga Pengerusi DAP negeri berkata, beliau juga kekal tenang biarpun diasak dengan pelbagai spekulasi membabitkannya dan Guan Eng.

“Saya selalu ‘calm and cool’ dan pertemuan selalu berlaku kerana kita ada mesyuarat mingguan dan bulanan parti.

“Saya rasa semua sudah berlalu dengan adanya Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Memang tidak dinafikan pada masa itu ada pertimbangan untuk tidak memilih saya (untuk kekal menjadi Ketua Menteri) daripada pihak pemutus parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan beberapa pimpinan DAP yang mahu Kon Yeow dan Guan Eng yang juga Pengerusi DAP menyelesaikan kemelut yang berlaku antara mereka.

Minggu lalu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh dilaporkan menasihati Kon Yeow supaya meredakan perbalahan antara beliau dan Guan Eng kerana memberi impak negatif terhadap parti.

Ia rentetan kenyataan balas antara kedua-dua pihak sebelum ini khususnya berkenaan dakwaan terdapat cubaan untuk menjatuhkan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri sehingga memaksa Guan Eng mencabar Kon Yeow mendedahkan bukti sekiranya dakwaan itu benar.

Sementara itu, ditanya berhubung perancangannya pada pemilihan parti yang dijangka diadakan tahun depan, Kon Yeow berkata, perkara itu akan difikirkan apabila tiba waktunya.

“Bila sampai masanya nanti, baru kita fikirlah,” balasnya ringkas.

Terdahulu, beliau merasmikan Seminar Pelaburan Sektor Agromakanan Malaysia dan Pelancaran Lembah Teknologi Sedusun (STV) di Bertam, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan dan Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya