ALOR SETAR: Semua kawasan Felda bukan lagi menjadi deposit tetap Barisan Nasional (BN) seperti yang pernah berlaku dalam kebanyakan pilihan raya sebelum ini memandangkan generasi kedua dan ketiga yang mendiami kawasan itu memiliki pendirian politik tersendiri.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, sebarang ancaman mahupun ugutan sudah tidak laku untuk menarik sokongan mereka kepada parti tertentu.
“Kita sudah sampai satu tahap di mana orang Felda ini telah bebas untuk buat pendirian politik masing-masing bersandarkan kefahaman, ilmu serta perkembangan semasa. Semua akan lari daripada BN kerana mereka sudah tak boleh diugut kononnya disebabkan ada hutang, kena sokong parti tertentu.
“Felda bukan lagi simpanan tetap untuk BN dan sebab itulah di Kedah, PN menang di semua kerusi Felda. Kemenangan ini akan merebak ke Pahang, Perak, Johor dan tempat-tempat lain kerana peneroka kebanyakannya orang Melayu kini sedar mereka perlu bersama PN demi memastikan kestabilan politik negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco, hari ini.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang melabuhkan tirai Sabtu lalu menyaksikan PN menang dua daripada tiga kawasan tanah rancangan di situ iaitu di Felda Sungai Kemasul dan Sungai Kemahal.
Mengulas dakwaan gelombang PN sudah surut berikutan kekalahan berturut-turut dialami gabungan itu di Parlimen Pulai serta DUN Simpang Jeram dan Pelangai, Muhammad Sanusi berkata, kenyataan pihak lawan itu hanya demi menyedapkan hati mereka semata-mata.
“Nak bagi sedap hati mereka saja, tak lebih daripada itu. Kawasan yang kita bertanding ini pun memang dimenangi mereka dalam pilihan raya lepas dan di negeri serta kubu dikuasai mereka
“Kalau BN menang di kerusi PN, barulah dikira BN hebat tetapi kami tewas di kawasan yang memang dimiliki mereka sebelum ini. Jadi, itu bukanlah sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Ditanya dakwaan Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razeef Rakimin kononnya kekalahan PN di DUN Pelangai didorong oleh keceluparan beliau, Muhammad Sanusi menafikan perkara itu.
“Cakap perkara betul dengan suara yang deras (kuat) bukan bermaksud saya celupar. Celupar maknanya bercakap perkara yang tak betul, suara saja deras tetapi mulut lagi laju dari otak.
“Kalau ada asas, bukti, analisis tepat dan justifikasi yang betul, itu bukan celupar. Dakwaan sedemikian hanya satu bentuk tohmahan terhadap saya sedangkan saya ada bukti untuk segala-galanya,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, beliau bersama barisan exco akan menyertai himpunan solidariti bagi menyokong Palestin bersama orang ramai di Dataran Zero, Sungai Petani, setelah menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Muzaffar Shah.
“Pada masa itu juga kita akan lancarkan tabung kemanusiaan untuk membantu rakyat Palestin. Akan ada jalinan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dapat memastikan segala bantuan, sampai kepada mereka yang memerlukan di Palestin,” katanya. –UTUSAN