Kerajaan dijangka kurangkan subsidi, perkenal cukai baharu?

Kerajaan dijangka kurangkan subsidi, perkenal cukai baharu?

Anwar Ibrahim memasukkan dokumen ucapan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI semasa melakukan tinjauan di Kementerian Kewangan, Putrajaya semalam. – BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dijangka mengurangkan subsidi dalam Belanjawan 2024 bagi meringankan beban fiskal, selain memastikan hanya rakyat yang benar-benar layak dibantu.

Kerajaan ketika ini dilaporkan menanggung subsidi pukal lebih RM80 bilion, sebahagiannya untuk petrol, diesel dan gas petroleum cair (LPG) yang turut dinikmati golo­ngan kaya.

Dalam belanjawan kali ini, kerajaan dijangka memberi tumpuan kepada rasionalisasi subsidi petrol, selain elektrik yang dijangka melonjak dise­babkan perkembangan ekonomi global.

Kejatuhan nilai ringgit dijangka meningkatkan lagi beban kewangan kerajaan untuk pemberian subsidi dalam memenuhi komitmen membantu rakyat.

Dari segi kemampuan kewangan kerajaan, subsidi secara pukal dan tidak bersasar memberikan kesan buruk kepada kedudukan fiskal.

Untuk itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang kali mengulangi komitmen kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar bagi membanteras ketirisan tanpa mengabaikan rakyat terbawah.

Sehubungan itu, pengurangan subsidi dijangka membantu kerajaan mengurangkan hutang yang kini berjumlah lebih RM1 trilion.

Dalam Belanjawan 2024, kerajaan juga dijangka memperkenalkan cukai baharu bagi meningkatkan hasil seterusnya mengimbangi defisit fiskal.

Sebelum ini, banyak pihak mencadangkan kerajaan mem­perkenalkan cukai se­perti cukai barangan mewah, cukai atas pulangan modal dan menaikkan cukai pendapatan secara progresif untuk menambah pendapatan negara. Hasil cukai dilaporkan kekal penyum­bang utama kerajaan

Dalam pada itu, peruntukan Belanjawan 2024 dijangka lebih besar berbanding Belanjawan 2023 yang berjumlah RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus dan RM99 bilion bagi belanja pembangunan.

Tambahan peruntukan da­lam Belanjawan 2024 memboleh­kan kerajaan memenuhi ‘tuntutan dan kehendak’ rakyat di semua peringkat sama ada dari segi pemberian insentif, kenaikan elaun, kenaikan gaji penjawat awam dan sebagai­nya.

Umumnya, Belanjawan 2024 dijangka memberi tumpuan kepada penstrukturan semula ekonomi bagi melonjakkan pertumbuhan, meningkatkan taraf hidup rakyat dan memperkukuh tatakelola. Ia juga dikatakan kesinambungan daripada dasar Ekonomi MADANI yang dilancarkan oleh Anwar sebelum ini.

“Pada 2024 kerajaan dijang­ka kekal memberi tumpuan kepada menangani kos sara hidup rakyat, dasar gaji progresif, pembangunan infrastruktur dan penerokaan ekonomi baharu,” kata

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff kepada Utusan Malaysia.

Penerokaan ekonomi baharu akan membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan termasuk berkemahiran tinggi dicipta untuk rakyat, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka sebagaimana dihasratkan kerajaan.

Belanjawan 2024 dijangka mengukuhkan komitmen kerajaan dalam menyokong komentum pertumbuhan ekonomi secara mampan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI.

Ia juga akan mentransformasi ekonomi negara bagi merealisasikan hasrat Malaysia untuk menjadi 30 ekonomi terbesar dalam tempoh 10 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN