PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju memberikan subsidi RM950 bagi setiap tan metrik bagi beras putih import (BPI) di Sabah dan Sarawak mulai 5 Oktober ini.
Langkah itu bagi memastikan beras putih import dapat dijual pada harga RM31 bagi setiap 10 kilogram (kg) di Sabah dan Sawarak.
Menteri Pasaran dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia adalah antara empat langkah interversi yang diambil oleh kerajaan dalam mengatasi isu bekalan beras di seluruh negara termasuk berusaha menyerap harga beras putih import bagi menangani masalah kekurangan bekalan beras putih tempatan dalam pasaran.
Selain itu katanya, kerajaan akan menumpukan pemerkasaan edaran beras putih tempatan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Katanya, empat langkah intervensi itu telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pertemuan bersamanya, semalam.
“Kerajaan mengarahkan FAMA untuk meningkatkan kapasiti pengedaran beras putih tempatan ke kawasan luar bandar termasuk ke kedai-kedai runcit,” katanya dalam sidang akhbar khas cadangan intervensi baharu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) berkaitan isu beras dalam negara di ibu negara semalam.
Mohamad berkata, kerajaan juga akan melancarkan satu Pasukan Petugas Khas Bersepadu Penguatkuasaan Operasi Beras Putih yang memberi fokus kepada pemeriksaan dan penguatkuasaan di kesemua peringkat rantaian pembekalan beras putih tempatan (BPT).
“Operasi itu akan melibatkan Kawalselia Padi dan Beras (KPB), penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis),” katanya.
Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin berkata, permintaan beras yang naik secara mendadak ketika ini masih terkawal dengan pelbagai langkah intervensi digerakkan di semua peringkat rantaian termasuk kilang, pemborong dan peruncit.
Beras menjadi isu nasional sejak kebelakangan ini dengan ramai yang mengadu sukar mendapatkan bekalan BPT di kedai-kedai mahupun pasar raya.
Mohamad berkata, selain itu, pemerkasaan edaran BPT melalui FAMA akan diperluas dengan meningkatkan pengedaran di kawasan pinggir bandar dan luar bandar termasuk kedai-kedai runcit.
“Hal ini kerana, margin jualan beras putih tempatan hanya RM0.50 bagi kampit beras 10kg, oleh itu, kerajaan akan menyalurkan kos pengangkutan kepada FAMA,” katanya.
Katanya, isu beras bukan hanya berlaku di Malaysia tapi di negara serantau, harga runcit semasa bagi satu kilogram adalah RM2.60 di Malaysia, Thailand RM3.40, Filipina RM3.70, Vietnam RM3.50, Indonesia RM3.90, Laos RM5.50, Kemboja RM4.50, Brunei RM6.00 dan Singapura RM4.50.
“Harga beras tempatan di ASEAN paling murah kini adalah di Malaysia iaitu RM2.60,” katanya.
Mohamad berkata, bukan bekalan beras berkurangan tetapi harga beras import naik mendadak, jadi pembelian beralih dari beras import ke beras tempatan. – UTUSAN










