ALOR GAJAH: Kadar pengangguran negara mencatatkan penurunan kepada 3.5 peratus bagi suku pertama 2023 berbanding 3.6 peratus pada suku keempat 2022.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, merujuk kepada data daripada portal MYFutureJobs, seramai 455,350 pencari kerja berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan dari 2022 hingga September 2023.
Menurutnya, berlaku banyak perubahan dalam trend pencarian kerja terutama melibatkan golongan muda sejak kebelakangan ini dan dalam masa sama, pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi membantu golongan pencari kerja berumur 40 tahun ke atas.
Katanya, selepas Covid-19, trend mencari pekerjaan mengalami perubahan kerana ramai dihentikan kerja dan selepas itu mereka mencari pekerjaan yang sesuai dengan minat dan kemahiran.
“Ini adalah petunjuk yang baik bahawa lebih ramai orang mula bekerja dan kadar pengangguran pula semakin berkurangan. Banyak lagi usaha akan diambil oleh kementerian bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berusaha untuk memastikan kadar pengangguran dalam kalangan anak muda dan belia dapat dikurangkan.
“Program yang dianjurkan melalui pelbagai agensi lain adalah untuk memastikan belia kita mempunyai latihan yang secukupnya supaya apabila mereka memasuki pasaran pekerjaan nanti akan mendapat upah atau gaji setimpal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Madani Bersama Menteri Sumber Manusia di Pasaraya Mydin Pulau Sebang di sini, hari ini.
Tambah Sivakumar, kerajaan turut melihat perkembangan di seluruh dunia dan mengenal pasti potensi pekerjaan pada masa hadapan.
Menurutnya, peredaran zaman menunjukkan permintaan tinggi pekerjaan dalam bidang tertentu seperti keselamatan siber dan pendigitalan yang memerlukan ramai pekerja terlatih.
Jelasnya, kementeriannya sedang berusaha memastikan majikan di seluruh negara mengambil seratus peratus pekerja tempatan, walaupun ketika ini kadar pekerja asing terlalu tinggi di negara ini.
“Saya ingin menyarankan kepada pihak majikan supaya memberi tumpuan kepada pengambilan pekerja tempatan dan bukannya terlalu bergantung kepada pekerja asing,” ujarnya. – UTUSAN










