BACHOK: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) melancarkan jualan beras putih tempatan di seluruh kedai peladang milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah agensi itu bagi menangani isu kekurangan sumber makanan ruji di negeri ini.
Pengerusinya Muhammad Husain berkata, sebanyak 320 tan metrik beras akan dibekalkan ke semua kedai peladang milik PPK secara berterusan bagi memastikan bahan mentah itu mencukupi untuk menampung keperluan rakyat.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut setiap kedai peladang akan menerima sebanyak dua tan beras yang bersamaan dengan 200 paket beras.
“Bukan sahaja berkualiti, beras ini dijual jauh lebih murah berbanding beras import iaitu hanya RM26 untuk 10 kilogram (kg).
“Jadi orang ramai yang berdekatan dengan kedai peladang boleh mendapatkan beras ini, tapi…janganlah membuat pembelian panik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jualan Beras Putih Tempatan di PPK Sri Gunong, di sini hari ini.
Muhammad memberitahu, KADA telah turun ke lapangan untuk meninjau dan mengkaji keperluan beras di peringkat akar umbi mencari jalan penyelesaian bagi meringankan beban orang ramai.
Katanya, sebagai jelapang kedua terbesar negara, KADA kini memiliki 26,833 hektar parcel padi yang diusahakan oleh petani yang seharusnya bekalan beras tempatan untuk kegunaan domestik tidak menjadi suatu permasalahan.
“Hasil tuaian bersih bagi musim kedua 2022, KADA memperoleh sebanyak 120,000 tan padi bersamaan 60,000 tan metrik beras yang mampu membekalkan enam juta kampit beras kepada pengguna.
“Peratus penanaman padi KADA telah mencapai 90 peratus daripada keluasan sebenar dan bagi musim pertama tahun ini KADA selesai proses penanaman padi yang mencapai 92 peratus bertanam. Adalah diharapkan hasil yang diperolehi meningkat dengan keadaan cuaca terkini berbanding musim dan tahun sebelumnya,” ujarnya. –UTUSAN










