PETALING JAYA: UMNO melantik Naib Presiden parti, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk menganjurkan Kolokium Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera dengan menggembleng kepemimpinan UMNO semua peringkat di seluruh negara.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, segala dapatan, maklum balas dan sumbang saran yang diperoleh melalui kolokium itu akan diangkat kepada Kongres Ekonomi Bumiputera yang bakal dianjurkan kelak.
Katanya, agenda Bumiputera perlu diberikan wajah dan semangat baharu dengan pelbagai perencanaan yang lebih strategik dan berkesan untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dalam mendepani cabaran zaman untuk tempoh 30 tahun mendatang.
“UMNO menghargai komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan untuk menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera pada Januari 2024, sekali gus membuktikan keseriusan kerajaan untuk terus memperkasakan lagi agenda ekonomi Melayu-Bumiputera.
“Parti juga ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan dan keyakinan memberikan amanah besar kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO untuk mempengerusikan Kongres Ekonomi Bumiputera yang amat penting ini.
“Sesungguhnya Kongres Ekonomi Bumiputera merupakan cetusan awal UMNO pada tahun 1965 yang bukan sahaja telah menggagaskan pelbagai strategi dan inisiatif penting menggerakkan agenda Melayu-Bumiputera bahkan melahirkan pelbagai institusi bermakna buat orang Melayu-Bumiputera termasuk MARA, UDA, Felda, Risda dan Felcra,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, perkara itu dibincangkan dan diputuskan dalam Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato Onn semalam.
Sebelum ini, Anwar ketika pembentangan Kajian Separuh Rancangan Malaysia Ke-12 memaklumkan Kongres Ekonomi Bumiputera akan diadakan pada Januari 2024 bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.
Beliau berkata, semua perancangan dalam agenda pemerkasaan bumiputera sebelum ini hanya memusatkan kayu ukur penyertaan kumpulan dalam ekonomi berdasarkan pemilikan ekuiti semata-mata. – UTUSAN