Keretakan hubungan PH-BN di negeri isyarat, mesej akar umbi

Keretakan hubungan PH-BN di negeri isyarat, mesej akar umbi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Senario politik di beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan dan Johor merupakan suatu isyarat daripada akar umbi kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa mereka tidak mahu lagi bersekongkol atau dilihat ‘intim’ dengan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP.

Hal ini disebabkan, kebimbangan akar umbi yang UMNO akan terus kehilangan undi orang Melayu sekiranya terus dilihat intim dengan DAP khususnya dalam mendepani pilihan raya yang mungkin berlaku pada bila-bila masa.

AHMAD FAUZI ABDUL HAMID

Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, tindakan UMNO Negeri Sembilan menarik sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan keputusan UMNO Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), adalah berdasarkan pertimbangan sokongan di akar umbi.

Katanya, UMNO tahu bahawa di peringkat akar umbi, orang Melayu masih marah kepadanya kerana bersekongkol dengan DAP yang menjadi seterunya selama ini.

“Apa yang berlaku di Negeri Sembilan dan Johor adalah mesej jelas kepada Ahmad Zahid. Di peringkat negeri mereka melihat keretakan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan PH adalah satu peluang keemasan untuk mereka kembali berkuasa.

“Mereka sangat yakin walaupun berlaku pertembungan tiga penjuru tetapi UMNO akan menjadi parti paling beruntung bahkan mampu menubuhkan kerajaan secara bersendirian tanpa bergantung kepada PH sekali pun,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Beliau berkata, UMNO mempunyai pilihan untuk bertanding secara solo di peringkat DUN dan Parlimen bagi meningkatkan peluang mendapat semula undi orang Melayu yang sebelum ini lari kepada Bersatu.

Katanya, percaturan sama ada mampu menubuhkan kerajaan secara bersendirian atau perlukan sokongan daripada gabungan lain, boleh dilaksanakan selepas pilihan raya selesai.

“Selera politik UMNO di negeri-negeri sangat berbeza dengan kerjasama yang ditunjukkan di peringkat persekutuan. Mereka melihat keretakan parti-parti seteru sebagai kelebihan namun tidak boleh dilihat terus bekerjasama dengan DAP,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Fauzi berkata, tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membubarkan Parlimen semakin kuat khususnya di negeri-negeri yang dikuasai oleh UMNO.

Menurutnya, kerjasama politik antara PH dan Barisan Nasional (BN) sudah tidak lagi stabil kerana ia hanya melibatkan di peringkat persekutuan namun semakin renggang di negeri.

“Ia tidak salah tetapi nampak tak cantik apabila kerjasama hanya di peringkat persekutuan. Jadi lebih baik bubarkan saja Parlimen dan adakan pilihan raya secara serentak di seluruh negara.

“Jika mahu teruskan kerjasama, ia boleh dibincangkan selepas pilihan raya diadakan. Saya melihat pembubaran Parlimen suatu tindakan wajar kerana ia mengurangkan persepsi negatif terhadap kerajaan kerana di negeri-negeri sudah menunjukkan keretakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN