KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan bagi menimbang Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, mengesyor penangguhan kuat kuasa undang-undang melarang individu lahir selepas 1 Januari 2007 dan seterusnya, daripada menghisap produk tembakau atau rokok elektronik.
Penangguhan penguatkuasaan itu seperti yang termaktub dalam peruntukan kesalahan pada seksyen 18 dan 19 RUU tersebut ke satu tempoh masa tertentu, atau sehingga laporan berkala yang diperlukan oleh RUU itu dibentang.
Perkara itu antara 12 rumusan jawatankuasa di dalam laporan semakan RUU yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen bermula semalam.
“Bagaimanapun, jawatankuasa bersetuju dengan pelaksanaan peruntukan Generasi Penamat Rokok (GEG) dikekalkan di bawah RUU ini.
“Jawatankuasa juga bersetuju bagi hukuman denda di bawah fasal 18 dan 19 diturunkan daripada RM500 kepada RM250,” kata laporan itu.
Selain itu, jawatankuasa bersetuju hukuman denda lebih berat perlu dikenakan ke atas pertubuhan perbadanan yang melanggar peraturan berkaitan pendaftaran, pengiklanan, promosi atau tajaan, penjualan, pemberian sebagai hadiah, harga jualan, pembungkusan dan pelabelan, tanggungjawab pengilang, pengimport atau pengedar.
Jawatankuasa turut bersetuju supaya Kementerian Kesihatan meneliti syor penggunaan rokok elektronik atau vape diguna sebagai salah satu kaedah rawatan berhenti merokok, namun penggunaannya mesti dikawal selia.
“Dalam hal ini, ia perlu mendapat kelulusan agensi bertanggungjawab serta mempunyai dokumen-dokumen sokongan berkaitan seperti keselamatan, keberkesanan, kesan sampingan dan tatacara penggunaan,” kata laporan itu.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, RUU itu akan dibentang untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat, hari ini, bagaimanapun ia telah ditarik balik.
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, penarikan balik RUU itu yang telah melepasi kajian dan pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen sebelum ini perlu dibentang kepada Kabinet terlebih dahulu.
Sebelum ini, satu taklimat Kementerian Kesihatan kepada ahli Parlimen dan media dijadual diadakan pukul 5 petang semalam, namun ditunda ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
RUU itu dibentang bacaan pertama pada 12 Jun lalu dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan dengan penelitian dibuat oleh ahli-ahlinya untuk membuat syor penambahbaikan. – UTUSAN










