TUMPAT: Hasrat seorang lelaki untuk menikmati upah menghantar 8.5 tan beras seludup berkecai selepas lori yang dipandunya ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di tepi jalan berhampiran Masjid Ar-Rahman, Kubang Batang di sini semalam.
Dalam operasi pukul 4.30 petang itu, suspek berusia 31 tahun ditahan selepas anggota PGA yang melakukan rondaan rutin telah mengesan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan lanjut yang dilakukan ke atas lori berkenaan telah menemukan 8.5 tan beras seludup yang dianggarkan berjumlah RM34,000.
Katanya, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku menerima upah sebanyak RM100 bagi setiap penghantaran barang yang dilakukan mengikut arahan.
“Siasatan lanjut beras tersebut alan dihantar ke kawasan sekitar daerah Besut, Terengganu. Penglibatan lelaki berkenaan sebagai penghantar dengan bayaran upah yang rendah menunjukkan kewujudan rangkaian sindiket yang lebih besar dan terancang.
“Kita tidak menolak kemungkinan peranan setiap individu diasingkan bagi mengaburi kegiatan sebenar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994
Katanya, tindakan pemantauan dan risikan berterusan serta operasi bersepadu antara agensi berkaitan perlu dipertingkatkan bagi mengekang aktiviti penyeludupan ini daripada terus berleluasa.-UTUSAN










