SANGAT mudah untuk kita berasa kalah dalam dunia yang dipenuhi orang saling bertelagah. Ditambah pula kematian dan perang di dada berita juga ekonomi dunia yang sentiasa bergelora. Di media sosial, kebencian lebih laris dipenuhi cerita curang dan kegiatan menelanjangkan aib begitu meriah bagai sebuah pesta. Sangat mudah untuk setiap orang menjadi tertekan. Kita tidak dilatih untuk menyebarkan kebahagiaan.
Filem komedi yang baik tidak bersifat menyembuhkan, tetapi penting untuk kembali mengingatkan tentang kemanusiaan serta kebaikan dalam dunia yang semakin merapu. Pelakon, Amerul Affendi menyifatkan komedi seperti magis, membawa cerita dan nostalgia kepada penonton di panggung.
“Banyak yang terjadi dalam dunia hari ini membuatkan kita semua menjadi tertekan. Komedi akan menjadi magis jika tidak terlalu slapstick, ia membuat kita kembali kepada sisi nostalgia dalam kehidupan kita macam dalam filem-filem arwah Mamat Khalid. Sebab itu, sampai hari ini karyanya diingati.
“Jika terlalu banyak filem aksi, perang, bunuh, kadangkala buat kita tertekan di panggung. Jadi dengan adanya filem komedi semua orang boleh ketawa, kurangkan stres masing-masing dan keluar dengan senyuman,” katanya kepada Pancaindera.
Kebahagiaan mudah luntur jika seseorang cuba menggenggam hal yang tidak boleh dikawal. Oleh itu, Amerul atau Mohd. Amerul Affendi Mohd. Mawardi, 40, sudah lama mengamalkan prinsip ‘playful’ atau suka bergurau yang membuatnya sangat santai dalam menghadapi masa-masa sukar apalagi semasa di awal 20-an, ketika anak jati Termeloh itu pertama kali mahu membina hidup sendiri di Kuala Lumpur.
“Hidup ni kena ada sifat playful supaya tak stres. Saya teringat zaman di ASWARA (Akademi Seni Budaya dan Warisan) sekitar tahun 2008. Waktu itu saya budak kampung mula datang ke Kuala Lumpur. Waktu itu saya fikir saya sangat berbakat. Tapi apabila sudah sampai bandar dan jumpa lebih ramai lagi orang hebat, saya mula rasa hilang semangat, tiada keyakinan diri.
“Tapi saya tidak mahu tertekan dan mula cuba buat perkara di luar zon selesa dan ‘mengarut’ seperti pergi kelas tarian kontemporari dengan Zahiril Adzim semasa belajar di ASWARA.
“Kami sangat bersemangat dalam kelas itu walaupun tahu yang kami berdua tiada bakat. Mana tidaknya, badan kami menari tidak sepadan dengan tempo muzik, main belasah sahaja sampai pensyarah putus asa dan halau kami keluar. Jadi terlalu ‘playful’ pun huru hara juga,” katanya ketawa.
Sambil meneguk kopi, Amerul menggali kenangan cuba mengingat kenakalan yang pernah dilakukan di usia belia. Pengalaman itu sekali gus memberi warna dan menjadikan dirinya yang hari ini.
“Oh ya, ada satu kenangan juga di mana pensyarah kami sangat garang iaitu Ahmad Yatim, kami panggil Cik Mat. Ada satu hari kami datang lambat ke kelas dan Cik Mat kunci pintu kelas. Tapi saya dan Zahiril tetap nakal, kami tunggu depan pintu sampai kelas habis untuk dengar apa diajar dari luar sahaja.
“Habis kelas, Cik Mat terkejut kenapa kami masih di depan kelas. Kami cakap terpulanglah Cik Mat kalau mahu kunci pintu tapi kami tetap akan belajar walau dari luar. Sebab itu saya dan Zahiril pernah kena cop ‘contoh buruk’ sebab nakal. Tapi bab tugasan dan kelas kami ambil serius sebab sukakan pelajaran,” katanya.

Kini, usianya sudah memasuki empat dekad, Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 itu tetap selalu mengingatkan diri untuk menjadi seorang yang tenang, kelakar dan tidak mudah terprovokasi.
“Bila sudah umur menginjak 40 tahun, saya pegang satu prinsip iaitu ‘aku tak akan jadi macam orang yang aku benci dulu’. Waktu kita muda, kita akan selalu jumpa orang tua yang pemarah dan buat kita rasa ‘santailah pakcik’.
“Jadi, sekarang apabila umur sudah begini, saya pastikan diri lebih tenang dan tidak menyekat kreativiti orang muda. Saya mahu lorongkan mereka ke arah positif, bukan halang mereka daripada cuba buat apa-apa,” ceritanya.
Selain itu, Amerul percaya bahawa minat adalah sesuatu yang perlu dicari. Siapa sangka, tumbuhan dan haiwan rupanya menjadi sumber rezeki terbesarnya pada hari ini. Bermula dengan menanam bunga kantan sebanyak enam batas di kawasan rumah, kini produk pertaniannya berkembang kepada rumput napier seluas lapan ekar.
“Saya pernah cuba menyanyi, menari, tapi rasa macam saya ini pekak nada. Lebih baik jangan teruskan. Tapi kalau teater muzikal saya boleh lakukan kerana itu selari dengan permintaan watak.
“Bertani memang saya minat kerana buat saya jadi tenang. Walaupun sekarang ada cabaran macam El Nino (cuaca) dan harga barang naik, tapi pertanian tetap menjadi keutamaan saya. Cabaran cuaca kita boleh laras lagi, kita tahu tanaman apa sesuai untuk bulan-bulan tertentu,” katanya.

Dikejar orang kampung tengah malam buta
Bercerita tentang perkembangan terbaru, Amerul membintangi sebuah filem komedi yang kini ditayangkan bertajuk Libang Libu. Lebih menarik, Amerul digandingkan dengan sahabat karibnya, Beto Kusyairy bagi menjayakan naskhah layar lebar pertama pengarah, Bobby Hussaini.
Libang Libu diambil daripada dialek Perak bertajuk gelisah, tidak tentu arah menceritakan huru hara kampung setelah Along Alid membawa masuk produksi Cina ke dalam kampung menimbulkan kucar-kacir sekeliling.
“Sepanjang penggambaran di kampung Lambor Kanan, kenangan paling tidak boleh lupa adalah apabila buat adegan saya dikejar orang kampung. Kami kena berlari anak pukul 10 malam ke atas.
“Orang kampung semua pelik, mereka buka tingkap nak tengok. Mesti dia cakap ‘apahal pula budak-budak ini main kejar-mengejar tengah malam buta. Memang kecoh jadinya,” cerita Amerul sambil ketawa.
Kebetulan pula penggambaran jatuh pada musim durian, Amerul bersyukur memikirkan kemurahan hati penduduk yang menghantar durian ke set penggambaran setiap hari sehingga mereka rasa sangat dialu-alukan.
“Kami gunakan masjid mereka, duduk di homestay mereka, rasa sangat mesra. Kadang ajak ke warung kopi. Belum lagi yang hantar durian ke set penggambaran.
“Cuma sekarang ini rasanya sudah era digital, jadi mereka tidaklah duduk tepi untuk tengok kami berlakon. Masing-masing buat macam biasa sahaja. Sampai jenuh juga produksi nak cari orang kampung kalau-kalau boleh buat jadi pelakon tambahan,” katanya.
Libang Libu tidak sekadar filem komedi tetapi juga mempunyai satira menyindir sikap sesetengah individu yang lebih mengingati keburukan seseorang.
“Biasalah manusia, bila ada satu titik hitam yang semua orang tahu, orang akan ingat sampai bila-bila. Segala kebaikan kita sebelum itu, orang mudah benar lupa,” ujarnya.
Amerul sempat meluahkan kegusarannya tentang kehilangan jati diri masyarakat kampung di zaman digital ini. Menurutnya, ‘budaya menyibuk’ orang kampung yang dulu dianggap sebagai tanda prihatin, kini semakin pudar ditelan ketaksuban pada telefon pintar.
“Dulu kalau ada benda besar jadi di kampung, semua datang nak tengok. Sekarang tidak lagi. Semangat gotong-royong pun semakin luntur.
“Dalam filem ini, ada dipaparkan tentang kenduri kahwin yang sudah hilang jati diri kampungnya. Penyakit bandar pun sudah masuk kampung melalui telefon. Contohnya, kalau dulu hendak main judi kena pergi kedai, sekarang dalam telefon pun boleh jadi. Benda-benda ini yang dimasukkan dalam cerita,” katanya.










