Jangan usik MB Perlis, nanti menjejaskan pelaburan berbilion-bilion - Rozabil - Utusan Malaysia

Jangan usik MB Perlis, nanti menjejaskan pelaburan berbilion-bilion – Rozabil

ROZABIL ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: UMNO Perlis berharap kepemimpinan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli tidak diusik disebalik permasalahan dan perpecahan dalaman yang melanda Pas negeri ketika ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, hal demikian kerana dikhuatiri boleh mengganggu usaha Menteri Besar itu yang telah membawa pelaburan berbilion ringgit ke negeri ini.

Katanya, jika berlaku pergeseran dan suasana tidak menentu di dalam parti itu boleh menjejaskan usaha Menteri Besar Perlis itu memajukan ekonomi negeri dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Perlis dengan kemasukan pelaburan berbilion seperti diuwar-uwarkan oleh Mohd. Shukri.

“Saya juga kesal mendengar pergeseran dalaman seperti itu kerana dikhuatiri boleh memberi kesan kepada pelaburan yang dibawa oleh Menteri Besar ke Perlis itu,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Abu Bakar Hamzah menegaskan bahawa Pas negeri tidak seharusnya menyembunyikan permasalahan dan perpecahan dalaman parti itu ketika ini.

Abu Bakar yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri dilaporkan berkata, pimpinan Pas perlu memperjelaskan situasi semasa yang berlaku bagi bersama-sama membina kekuatan di dalam gabungan berkenaan.

Sebelum ini, Abu Bakar mendakwa ‘pergolakan’ Pas negeri itu melibatkan isu kefahaman agama, susun atur gerak kerja dan pentadbiran di Perlis yang dimenangi PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kenyataan tersebut menyusul selepas peringatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Ahad lalu supaya ahli parti tidak menjadi ‘penebuk kapal’ untuk menjatuhkan kerajaan diperintahnya.

Sementara itu, Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau juga cukup teruja apabila Perlis selepas ini tidak perlu lagi bergantung kepada pusat seperti kenyataan Menteri Besar baru-baru ini.

“Ia merupakan sejarah baharu buat negeri ini dan menjadi Menteri Besar pertama (Mohd Shukri) jadikan Perlis tidak perlu lagi bergantung kepada pusat,” katanya.

Mohd Shukri sebelum itu dilaporkan berkata, Perlis menerima komitmen pelaburan berjumlah RM1.3 bilion minggu lalu, tambahan daripada pelaburan sedia ada berjumlah RM2.5 bilion.

“Dengan State-Government 4′ (SG4) yang dinasihatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad kita akan dapat bangunkan empat negeri jadi kuasa ekonomi yang ditakuti kerajaan Anwar Ibrahim,” kata Mohd Shukri dalam pidato empat Menteri Besar sempena Muktamar Tahunan Pas baru-baru ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya