KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Bella Dally, berharap masyarakat berhenti menghentam dan melakukan buli siber terhadap segelintir selebriti yang membuat keputusan untuk tidak lagi bertudung.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nabilah Ali Dally, 31, setiap individu mempunyai perjalanan kerohanian tersendiri dan warganet tidak seharusnya keterlaluan mengecam tindakan mereka.
“Sangat salah untuk kita hentam mereka yang buka aurat sampai tahap buli di media sosial.
“Awak kecam dia sangat teruk di ruangan komen, apa yang membuatkan awak seorang yang lebih baik?
“Kalau yang tinggalkan nasihat di komen DM tak mengapa. Dalam hal ini, saya rasa warganet kena jaga mulut mereka sendiri,” katanya.
Sebagai artis yang melalui pengalaman hijrah dan bertudung selama sembilan tahun, Bella mengakui ia bukanlah perjalanan yang mudah.
“Perjalanan orang lain-lain dan kita tidak boleh mahu hakimi. Kita tidak tahu apa yang sedang dilalui individu tersebut.
“Memang kadangkala ada suara suruh buka tudung atau rindu untuk tunjuk rambut juga timbul rasa bersalah untuk bertudung kerana kita belum cukup baik.
“Bertudung atau tidak, kita semua tak sempurna. Karakter dalaman kita lebih penting untuk diperbaiki. Doakan mereka,” tambahnya.
Sebelum ini, pelakon Mawar Rashid mencuri perhatian warganet setelah memuat naik gambar tidak bertudung dan menganggap dirinya sudah gagal.
Minggu lalu, tular video pelakon Nelydia Senrose tidak bertudung semasa bermain badminton bersama kawannya. – UTUSAN










