Isu fidlot NFCorp: Kerajaan dapat balik RM120.64 juta

Isu fidlot NFCorp: Kerajaan dapat balik RM120.64 juta

MOHAMAD Salleh Ismail hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi keputusan kes saman kerajaan terhadap 11 defendan berhubung pusat fidlot nasional. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan Kerajaan Malaysia menuntut pembayaran pinjaman dan faedah sebanyak RM120.64 juta daripada National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) berkaitan projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.

Hakim Anand Ponnudurai memutuskan demikian selepas membenarkan saman Kerajaan Malaysia terhadap syarikat itu dan 10 defendan lain termasuk Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan tiga anaknya.

Kerajaan bagaimanapun gagal mendapatkan sepenuhnya RM253.6 juta pembayaran pinjaman dan faedah yang dipohon apabila mahkamah hanya membenarkan sebahagian jumlahnya.

“Mahkamah berpuas hati dengan defendan bahawa jika keseluruhan tuntutan RM253.6 juta dibenarkan, tindakan tersebut hanya akan menyebabkan kerajaan memperoleh kekayaan secara tidak adil dan tidak wajar,” ujar beliau.

Ketika menyampaikan keputusannya, hakim berkenaan berkata, NFCorp selaku defendan pertama diperintah membayar balik RM33.74 juta iaitu jumlah yang tidak digunakan dalam pinjaman tersebut.

Selain itu, mahkamah turut berpuas hati bahawa Kerajaan Malaysia selaku plaintif layak mendapat semula keseluruhan wang RM86.9 juta yang disita daripada defendan yang kini disimpan oleh Akauntan Negara.

Hakim berkenaan turut memerintahkan tiga bidang tanah masing-masing di Gemas, Putrajaya dan hartanah One Menerung di Bangsar yang dibeli menggunakan pinjaman itu, dipulangkan kepada kerajaan.

Mahkamah turut membenarkan tuntutan balas NFCorp selepas berpuas hati kerajaan melanggar terma-terma perjanjian pinjaman dan perjanjian implementasi yang dimeterai oleh kedua-duanya serta memerintahkan kerajaan membayar RM10,000 kepada syarikat itu.

Dalam alasan penghakimannya, Hakim Anand berpendapat, dakwaan plaintif bahawa defendan gagal menjelaskan pembayaran ansuran, sebagai tidak bermerit.

Beliau turut berpuas hati kerajaan melanggar perjanjian implementasi kerana menggantung projek itu secara unilateral walhal pembayaran ansuran bagai 2012 dan 2013 telah dijelaskan.

Dalam keputusan itu, Hakim Anand berpendapat, saksi-saksi plaintif daripada Kementerian Kewangan gagal mengemukakan bukti kewujudan isu konspirasi, penipuan dan pecah amanah melibatkan ahli keluarga Mohamad Salleh dan syarikat-syarikat di bawah kawalannya.

Prosiding hari ini dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan yang mewakili kerajaan manakala peguam Datuk K. Kirubakaran mewakili 11 defendan.

Dalam saman itu, plaintif menamakan NFCorp sebagai defendan pertama manakala Mohamad Salleh yang merupakan suami bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sebagai defendan kedua.

Turut dinamakan sebagai defendan, tiga anak mereka, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing sebagai defendan ketiga hingga kelima.

Defendan lain ialah enam syarikat dikawal keluarga Mohamad Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn. Bhd., Real Food Corporation Sdn. Bhd., Meatworks Corporation Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd., Asian Bioscience Corporation Sdn. Bhd. dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn. Bhd.

Perbicaraan itu bermula 2021, plaintif mengemukakan tujuh saksi antaranya bekas Ketua Setiausaha Pembendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir manakala defendan memanggil lima saksi termasuk Mohamad Salleh untuk memberi keterangan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan mendakwa satu perjanjian telah ditandatangani dengan NFCorp pada 6 Disember 2007 bagi pinjaman berjumlah RM250 juta.

Sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi pusat fidlot di Gemas selaras dengan dasar untuk membangun serta meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.

Pinjaman itu disalurkan kerajaan kepada NFCorp dalam tiga peringkat dan keluarga Mohamad Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Januari 2008 hingga 3 Januari 2011.

Sebelum ini, dalam perbicaraan pada November tahun lalu, Mohamad Salleh memberitahu bahawa beliau dan syarikatnya mengalami kerugian dan bukan kerajaan akibat kegagalan projek di Gemas.

Mohamad Salleh, 75, berkata ini kerana wang NFCorp telah dirampas dan kerajaan menggantung projek tersebut.

Akibat kerugian itu telah menyebabkan pihaknya juga memfailkan tuntutan balas dengan menuntut ganti rugi RM86.25 juta daripada kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya