‘Ini bukan peperangan, ini genosid’ - Utusan Malaysia

‘Ini bukan peperangan, ini genosid’

PESERTA Himpunan 10K Solidariti Palestin berhimpun dan berarak dari Masjid KLCC ke pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat sebagai bantahan terhadap kekejaman zionis ke atas penduduk Palestin di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur semalam. – MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Ini bukan peperangan, ini penghapusan etnik, genosid (genocide).”

Itu kata-kata Timbalan Pre­siden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi menggambarkan situasi peperangan Palestin-Israel ketika ini.

“Ini bukan peperangan antara (agama) Yahudi dan Islam, bukan peperangan antara Israel dan Hamas tetapi ini penghapusan etnik dan bangsa (Palestin).

“Kepada negara-negara Barat, bukalah mata anda, ini adalah pembunuhan besar-besaran, satu kemusnahan (holocaust), kamu tahu apa sebenarnya yang berlaku, kamu tahu Israel melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan 10K Solidariti Palestin di ibu negara yang turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Terdahulu, lebih 5,000 peserta berhimpun dan berarak di sepanjang Jalan Tun Razak berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini selain mendesak pihak Israel melakukan gencatan senjata segera.

Mereka berkumpul di Masjid KLCC pada pukul 2 petang sebelum berarak kira-kira satu kilometer ke Kedutaan AS.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, polis dari Pasukan Unit Tempur Ringan (LSF) me­ngawal ketat Kedutaan AS dan sekitar kawasan perhimpunan terbabit.

Walaupun hujan namun ia tidak menghalang peserta meneruskan himpunan tersebut dan perhimpunan tamat pada pukul 3 petang.

Dalam pada itu Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib berkata, pihaknya mendesak kerajaan menyatakan pendirian tegas bagi mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim zionis terhadap serangan ke atas Palestin.

Malah pihaknya menyokong pendirian Ketua Pembangkang (Hamzah) bagi mendesak kerajaan membahas isu Palestin di Dewan Rakyat sebagai desakan Palestin dibebaskan.

“Kita mahu usul membahas isu ini diterima di Dewan Rak­yat sebagai pandangan sebulat suara untuk tidak menyokong tindakan Israel,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya