Sisa plastik ancam ekosistem marin

Sisa plastik ancam ekosistem marin

ADNAN Hussain (duduk, kiri) dan Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Khadir Abu Hashim (duduk, kanan) melepaskan burung helang merah sebagai gimik perasmian semasa sambutan Hari Laut Sedunia  2026 di Pusat Taman Laut Pulau Redang, Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Sisa plastik yang ditinggalkan di kawasan pulau dan perairan bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah menjadi ancaman besar kepada ekosistem marin termasuk terumbu karang.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata berkata, justeru itu Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melancarkan kempen mengurangkan penggunaan beg plastik dan bekas makanan sekali guna di rangkaian pulau peranginan dalam Taman Laut Malaysia sebagai usaha menangani pencemaran marin.

Beliau berkata, kempen itu menyasarkan penglibatan semua pihak termasuk pelancong, pengusaha resort dan operator pelancongan supaya beralih kepada penggunaan bekas makanan serta bahan pembungkusan yang lebih mesra alam.

“Beg plastik yang dibuang boleh mencemarkan laut dan mengancam hidupan marin sebelum terurai menjadi mikroplastik yang akhirnya memberi kesan kepada manusia.

“Kita menggalakkan semua pihak di pulau-pulau taman laut menggunakan alternatif yang lebih mesra alam dalam aktiviti harian dan operasi pelancongan,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Laut Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pulau Redang, di sini, hari ini.

Adnan berkata, buat masa ini pelaksanaan kempen itu lebih bersifat pendidikan dan kesedaran tanpa sebarang penguatkuasaan.

Bagaimanapun, katanya, DOF tidak menolak kemungkinan mencadangkan peraturan yang lebih khusus kepada kerajaan sekiranya inisiatif berkenaan gagal mencapai matlamat yang diharapkan.

Sementara itu, beliau berkata, Taman Laut Terengganu terus menjadi destinasi pilihan utama pelancong domestik dan antarabangsa.

Katanya, daripada 548,598 pengunjung yang direkodkan melawat 56 pulau yang diwartakan di bawah Taman Laut Malaysia pada tahun lalu, seramai 351,103 orang atau 64 peratus memilih Taman Laut Terengganu yang merangkumi Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol.

“Statistik ini membuktikan kawasan perlindungan marin bukan sahaja penting untuk memulihara biodiversiti, malah menjadi pemangkin pembangunan ekonomi setempat menerusi sektor pelancongan marin yang mampan.

“Keindahan terumbu karang, pantai dan kekayaan ekosistem marin menjadikan pulau-pulau di Terengganu antara destinasi paling digemari pelancong,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN