TUMPAT: Tujuh individu termasuk seorang wanita masing-masing didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan merusuh sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang instruktur atau guru sekolah memandu, bulan lalu.
Semua tertuduh iaitu Azli Mamat, 48; Mohd. Azaki Mamat, 42; Mohd. Khadri Ghani, 52; Ahmad Faizal Juhari, 35; Muhammad Alif Hakimi Abd. Hamid, 22; Muhammad Izzat Romli, 25, dan Nor Hasida Mamat, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.
Mengikut pertuduhan, ketujuh-tujuh tertuduh didakwa bersama-sama menjadi ahli suatu kumpulan yang menyalahi undang-undang dan menggunakan kekerasan dalam melaksanakan tujuan bersama kumpulan tersebut untuk melakukan kesalahan merusuh.
Perbuatan itu dilakukan oleh mereka di Akademi Memandu SKMS, Berangan di sini kira-kira pukul 4.30 petang pada 24 Mei lalu.
Pertuduhan terhadap kesemua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahfuzah Hamizah Mohd. Ariff manakala semua tertuduh diwakili peguam, Shamsul Baharin Abdullah. Terdahulu, Mahfuzah Hamizah mencadangkan satu hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada kesemua tertuduh.
Shamsul Baharin dalam rayuannya memohon hukuman yang ringan dengan mengambil kira kesemua tertuduh yang tidak mempunyai pendapatan tetap kerana bekerja sendiri sudah insaf dan memberi kerjasama sepanjang siasatan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 untuk setiap tertuduh atau penjara enam bulan sekiranya tidak membayar denda tersebut. Semua tertuduh membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.
Mengikut fakta kes, seorang guru Akademi Memandu SKMS Berangan didatangi oleh sembilan individu dengan tiga kenderaan untuk berbincang dengan lelaki tersebut.
Guru tersebut dikatakan ada mengeluarkan perkataan aib kepada seorang pelajar perempuan di akademi tersebut. Perbincangan bertukar pergaduhan apabila mangsa berasa takut dan menutup pintu kereta selepas melihat salah seorang lelaki yang merupakan bapa saudara pelajar perempuan itu mengambil sesuatu barang di dalam kereta.
Beberapa lagi individu menendang lelaki itu dari belakang sehingga menyebabkan mangsa jatuh sebelum mereka memukulnya beramai-ramai pada bahagian muka dan seluruh badan. – UTUSAN










