Indonesia tidak berdiam diri isu jerebu

Indonesia tidak berdiam diri isu jerebu

Indonesia mengambil pelbagai langkah untuk menangani isu jerebu yang berlaku sekarang, - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur menegaskan, mereka tidak berdiam diri bagi menangani isu berkaitan jerebu pada masa kini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Koordinator Penerangan Sosial Budaya Kedutaan Besar Republik Indonesia Kuala Lumpur, Yoshi Iskandar berkata, pelbagai usaha sedang dilakukan dalam mengurangkan titik panas.

“Pemerintah Indonesia sudah melakukan pelbagai ma­cam, malah institusi-institusi sedang melakukan tindakan untuk mengurangi titik panas yang ada,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Titik panas merujuk kepada petunjuk kebakaran hutan dan tanah yang dikesan di suatu lokasi, selain mencatatkan suhu lebih tinggi berbanding suhu di sekitarnya.

Sebelum ini, Indonesia dikatakan sebagai punca utama negara serantau lain khususnya Malaysia terpalit masalah jere­bu selepas sebilangan besar kawasan di Kalimantan dan Sumatera dikesan dengan titik panas terbanyak.

Meskipun kerajaan Indonesia menafikan ia berpunca daripada kebakaran hutan di negara itu, Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang berpangkalan di Singapura mendedahkan, banyak kawasan di republik itu memaparkan titik panas (hotspot) dan status jerebu tebal (dense haze).

Mengulas lanjut, Yoshi berkata, KBRI Kuala Lumpur tidak menolak masalah jerebu rentas sempadan itu akan diselesaikan secara diplomatik antara kedua-dua negara.

Setakat ini, katanya, KBRI Kuala Lumpur masih menunggu nota diplomatik daripada Kerajaan Malaysia untuk disampaikan kepada Kerajaan Indonesia.

Ketika ditanya berhubung kenyataan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa Malaysia sudah menghantar surat, Yoshi berkata, perkara itu perlu disemak terlebih dahulu.

“Kemungkinan nota itu (surat) kita tidak tahu atau mungkin terus disampaikan ke Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia sebab boleh melalui dua saluran (sama ada kedutaan di Malaysia atau kedutaan di Indonesia),” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×