GUA MUSANG: Seorang imam Orang Asli dari suku kaum Temiar menyampaikan khutbah Jumaat dalam bahasa masyarakat itu bagi memberi kefahaman berkait Islam secara jelas kepada penduduk di Pos Hendrop di sini, lebih 20 tahun lalu.
Imam Masjid Al-Hidayah, Pos Hendrop, Aris Rami berkata, Jumaat adalah hari masyarakat berkenaan meninggalkan segala aktiviti termasuk ke kebun dan mencari hasil hutan.
Katanya, pada masa sama golongan kanak-kanak beramai-ramai ke masjid untuk belajar membaca al-Quran dan mendalami fardu ain.
“Saya membaca khutbah dalam bahasa Temiar bagi memudahkan masyarakat Orang Asli faham tentang pesanan dan nilai murni yang ingin disampaikan.
“Sambutannya sangat baik apabila semakin ramai penduduk bermula daripada golongan kanak-kanak sehingga orang tua ke masjid,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, masyarakat Orang Asli di kampung itu dilihat semakin memahami tentang ilmu dan sahsiah mengenai agama Islam selepas penggunaan bahasa suku kaum mereka digunakan.
Sementara itu, seorang penduduk, Bakar Abdullah, 53, berkata, kebajikan Orang Asli di kawasan itu diberi perhatian penuh oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JHEAIK) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Katanya, dakwah melalui pendidikan itu diberikan kepada masyarakat Orang Asli selepas mereka memeluk agama Islam.
“Saya memeluk Islam hampir 30 tahun lalu. Kami diajar solat, mengaji al-quran dan berpuasa di bulan Ramadan.
“Kami gembira dengan kehidupan kami sekarang yang lebih tenang berbanding tidak mempunyai pegangan agama sebelum ini. Kami berterima kasih kepada pihak pendakwah termasuk tertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang melaksanakan program keagamaan di kawasan kampung ini,” katanya. – UTUSAN










