HULU TERENGGANU: Sepasang suami isteri sanggup meredah dan bermalam dalam hutan mencari ikan kelah merah di kawasan sungai serta tasik untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan.
Anuar Kamaruddin, 47, dari Kampung Jenagor berkata, menjual ikan kelah menjadi mata pencariannya selepas dia berhenti kerja sebagai kelasi kapal akibat pandemik Covid-19 pada 2020.
Katanya, sebelum ini aktiviti mencari ikan kelah sekadar hobi ketika pulang bercuti di kampung dan dia tidak menyangka kini menjadi pekerjaan hakiki serta mampu menjana pendapatan lumayan untuk menyara keluarga.
“Pekerjaan saya terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya gunakan medium media sosial menjual ikan-ikan kelah dipelihara ketika itu untuk kelangsungan hidup.
“Melihat potensi permintaan, saya ambil keputusan berhenti kerja untuk menjadi penjual ikan kelah sepenuh masa sehingga kini. Saya mampu meraih pendapatan hingga RM5,000 sebulan.
“Sepanjang berkecimpung dalam aktiviti ini, saya pernah menangkap ikan kelah merah seberat 11 kilogram (kg). Ikan-ikan yang ditangkap itu dikuarantin dahulu sebelum dijual kepada pelanggan mengikut kilogram dengan harga sekitar RM550 hingga RM2,000 seekor bagi yang masih hidup, “katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Bapa kepada lima anak berusia enam tahun hingga 17 tahun itu berkata, dalam tempoh sebulan dia menyasarkan jualan empat ekor ikan sahaja dengan ukuran ikan kira-kira 50 sentimeter dan turut menjual kelah yang sudah dibekukan.
Dia bersyukur kerana isterinya, Sakinah Jusoh mempunyai minat sama dan sanggup menemaninya meredah serta bermalam di hutan bagi mencari spesies ‘raja sungai’ itu.
“Melihat saya makin kerap ke sungai bagi penuhi permintaan pelanggan, isteri tertarik untuk ikut serta sehinggalah akhirnya dia yang lebih bersemangat dan selalu mengajak saya ke sungai.
“Kami hanya berdua ke sungai, biasanya bermalam satu atau dua malam bergantung kepada cuti isteri yang merupakan kakitangan swasta. Lazimnya, setiap hujung minggu jadi rutinnya.
“Lubuk-lubuk kelah ibarat tempat ‘healing’ baginya. Setiap minggu, kami ke sungai di seluruh pelusuk Terengganu bagi dapatkan bekalan ikan kelah yang dipanggil ‘raja sungai’,” ujarnya.
Anuar berkata, walaupun pendapatannya kini berbeza dengan pekerjaan sebagai kelasi kapal namun dia tetap bersyukur kerana punyai masa berkualiti dengan anak-anak memandangkan tidak perlu lagi berbulan-bulan meninggalkan keluarga.-UTUSAN










