Hati-hati dengan pelaburan tak dikawal – MHO

Hati-hati dengan pelaburan tak dikawal – MHO

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati dengan tawaran pelaburan tidak terkawal dengan menggunakan istilah saham boleh tebus patuh syariah (IRPS) yang kini semakin banyak wujud.

Trend pelaburan yang kononnya patuh syariah tersebut dijadikan bahan promosi untuk menarik perhatian orang ramai khususnya masyarakat Melayu di negara bagi menyertainya namun sebenarnya hanya penipuan semata-mata.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kebanyakan syarikat yang menyediakan perkhidmatan pelaburan IRPS menggunakan modus operandi dengan menawarkan saham bernilai lebih RM250,000.

Katanya, tindakan tersebut adalah supaya pelaburan mereka tidak dikawal selia oleh pihak ketiga seperti pemegang amanah atau Suruhanjaya Sekuriti (SC).

“Pelaburan saham yang dikawal selia oleh SC, perlu menyediakan dokumen prospektus. Ia merupakan satu dokumen untuk penawaran saham yang membantu pelabur membuat keputusan pelaburan dengan maklumat lebih banyak.

“Malangnya, ada syarikat pelaburan yang cuba mengelirukan pelaburnya dengan hanya menggunakan memorandum maklumat tanpa melalui kajian atau semakan ketat oleh SC.

“Mereka menggunakan memorandum maklumat yang dicop ‘terima’ oleh SC sebagai modal menarik orang ramai menyertai pelaburannya sedangkan ia tidak dikawal,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kebanyakan kes yang diterima didapati guna modus operandi sama iaitu dengan menawarkan saham melebihi RM250,000 untuk mengelak daripada dikawal selia oleh SC dan perlu mematuhi syarat ketat.

“Pelaburan yang nilainya melebhi RM250,000 dikecualikan daripada menyediakan dokumen prospektus namun jika menyertainya, risiko harus ditanggung oleh pelabur,” katanya.

Hishamuddin berkata, syarikat pelaburan sebegini biasanya akan membayar dividen sebanyak empat kali setahun kepada pelaburnya dengan menggunakan modal diperoleh daripada pelaburan sendiri bukannya hasil keuntungan.

“Taktik itu digunakan mereka untuk meyakinkan pelabur dan menarik lebih banyak pelaburan daripada orang awam sebelum menghilangkan diri.

“Saya tidak kata semua syarikat sebegitu namun pelaburan sebegini sangat berisiko tinggi dan sebahagiannya adalah penipuan semata-mata. Jadi saya cadangkan, jika mahu membuat pelaburan pilihlah syarikat yang dikawal selia serta mendapat kelulusan prospektus SC,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN