Harga kawalan maksimum baharu benih padi sah diselaras

Harga kawalan maksimum baharu benih padi sah diselaras

MOHAMAD Sabu pada sidang akhbar khas berkaitan isu benih padi di KPKM Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menyelaras harga kawalan maksimum baharu bagi program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) berkuat kuasa hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penyelarasan itu dibuat bagi menggalakkan penggunaan benih padi sah (BPS) yang bermutu tinggi dan rintang penyakit dalam kalangan pesawah.

Beliau berkata, ketetapan itu juga dibuat bagi mengelakkan penggunaan benih padi tidak sah atau benih ‘kampit putih’ di pasaran tempatan.

“Menerusi harga kawalan baharu itu, harga maksimum di pintu gudang syarikat pengeluar BPS diselaraskan daripada RM31 kepada RM40 per kampit 20 kilogram.

“Selain itu, harga maksimum bagi peringkat runcit pula di selaraskan daripada RM35 kepada RM45 per kampit 20 kilogram,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.

Katanya, penyelarasan kawalan harga maksimum itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan.

Mohamad berkata, ia juga tidak merubah struktur pengeluaran, pembekalan dan pengedaran BPS sedia ada melibatkan 12 syarikat pengeluar BPS, 13 syarikat pemborong, dan 456 peruncit di seluruh negara.

Menurutnya, KPKM cakna dengan rungutan pesawah di lapangan iaitu berkaitan kesukaran mendapatkan BPS di pasaran selain peningkatan harga BPS per kampit 20 kilogram sehingga mencecah RM50.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 lalu, kerajaan memutuskan untuk meningkatkan harga lantai belian padi daripada RM1,200 per tan metrik kepada RM1,300 per tan metrik.

Justeru, KPKM menjangkakan kenaikan harga padi benih ini akan menyebabkan kos pengeluaran benih padi termasuk bagi program IBPS akan turut meningkat dan tidak dapat dijual dengan harga kawalan maksimum sedia ada iaitu RM35 per kampit 20 kilogram.

Media sebelum ini melaporkan, ramai pesawah di Kedah merungut sukar mendapatkan benih padi sah dan pada harga berpatutan bagi memulakan proses menanam padi pada hujung bulan ini, malah masih tiada dijual di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berikutan bekalan dari kilang belum diperoleh.

Kebanyakan PPK memaklumkan bahawa kilang yang dibenar membekalkan benih padi dikatakan memberi alasan benih padi untuk penanaman pada musim ini belum diluluskan Jabatan Pertanian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya