Hajat Sulaiman bawa hadiah dari Gaza untuk rakan tidak kesampaian - Utusan Malaysia

Hajat Sulaiman bawa hadiah dari Gaza untuk rakan tidak kesampaian

ADNAN Madi (kiri) bersama rakan-rakan mengenang pemergian Sulaiman J. S. Abuanza ketika belajar di Universiti Antarabangsa Albukhary di Alor Setar, Kedah. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pelajar Palestin di Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) yang maut ditembak tentera zionis dua minggu lalu sepatutnya sudah kembali ke Malaysia minggu ini bagi meneruskan pengajian.

Menurut seorang pensyarah warga Palestin, Osaid N. A. Abdaljawwad, Sulaiman J. S. Abuanza, 23, sempat bertanyakan kepada beliau serta rakan-rakannya sama ada mereka ingin­ memesan sesuatu dari Gaza sebagai hadiah untuk dibawa pulang ke kampus.

“Tiga hari sebelum terbunuh, Sulaiman ada mesej saya dan rakan-rakan bertanya adakah kami inginkan sesuatu? Banyak kali Allahyarham hubungi kerana katanya dia akan meninggalkan Gaza untuk ke Mesir.

“Allahyarham akan singgah di Mesir untuk melakukan pembedahan lasik mata sebelum kembali ke Malaysia yang dijangka minggu ini,” katanya ketika ditemui di kampus AIU di sini semalam.

Akhbar ini melaporkan Sulaiman yang merupakan pelajar jurusan pengkomputeran dan informatik terkorban akibat tembakan zionis ketika melintasi kawasan dikawal rejim itu.

Menurut Osaid yang juga pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Perniagaan, pihaknya difahamkan mayat Sulaiman hanya ditemukan oleh keluarganya tiga hari selepas kejadian itu.

“Sulaiman dibunuh penem­bak tepat. Mayatnya ditemukan di sempadan Gaza kerana tentera Israel menembak ke arah Gaza tanpa henti ketika itu.

“Setelah keadaan tenang, anggota keluarga ke kawasan itu untuk membawa jenazah Sulaiman. Ketika itu, kami nampak wajah jenazah yang sempurna walaupun sudah tiga hari terbunuh dan kami tahu Sulaiman mati syahid. Ramai yang mati syahid sejak 7 Oktober itu, hampir 3,000 orang Palestin terbunuh setakat ini,” katanya.

Katanya, Sulaiman menyatakan kerinduan untuk pulang ke Rafah bertemu keluarganya hampir sebulan lepas setelah tiga tahun berada di Malaysia namun tidak menjangkakan situasi menjadi amat genting.

“Ketika itu keadaan masih terkawal. Terdapat 17 pelajar AIU dari Palestin dan sembilan daripada mereka berasal dari Rafah,” katanya.

Sementara itu rakan Sulaiman, Ahmed Mohamed Ali Alnanai, 22, berkata, kematian Allahyarham mengejutkan me­reka namun reda kerana dia pergi sebagai seorang syahid.

“Kali terakhir kami bertemu beberapa hari sebelum dia pulang ke Gaza. Tentu berita kematiannya mengejutkan kami. Di AIU kami seperti adik-beradik dan salah seorang daripada kami terkorban,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN