KUALA LUMPUR: Ketua Juri separuh Akhir Anugerah Juara Lagu ke-40, menjelaskan setiap lagu mara adalah dinilai berdasarkan kriteria yang ditetapkan setiap juri.
Yakin dengan keputusan dibuat, Acis atau nama sebenarnya Hashridz Murshim Hassim berkata lagu-lagu yang tidak disenaraikan belum cukup kuat dan tidak melepasi kriteria ditetapkan.
“Keputusan adalah hasil kesepakatan sebulat suara. Lagu dinilai daripada kriteria asas, seperti melodi, lirik, produksi dan nyanyian. Saya rasa bukan rezeki dia ke final,” katanya.
Mengulas tentang lagu yang berjaya ke peringkat AJL40, Acis memaklumkan mereka memilih karya yang menyentuh perasaan juri.
“Kita mencari keaslian. Melodi perlu dirasai juri. Kadang ringkas, tetapi berkesan. 10 lagu ini yang terbaik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Acis turut menekakan populariti lagu tidak akan menentukan kejayaan di pentas akhir.
“Kami pilih lagu yang menonjol dan segar. Kami mahukan juara lagu yang akan dikenang 20 tahun akan datang.
“Seperti lagu-lagu 80-an, yang masih kita ingat sehingga ke hari ini,” jelasnya. – UTUSAN










