Saya pegang prinsip ‘Allah tidak tidur’ - Reedzwann - Utusan Malaysia

Saya pegang prinsip ‘Allah tidak tidur’ – Reedzwann

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas melalui episod hitam yang meragut nyawa seorang rakan wanita dalam satu kemalangan sekitar 2024, penyanyi dan komposer muda, Reedzwann, tampil berkongsi perjalanan hidupnya yang penuh liku sepanjang tempoh menyepi daripada dunia seni.

Insiden tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada kerjayanya yang sedang memuncak, malah turut mengganggu emosi dan mental sehingga memaksanya mengasingkan diri hampir setahun.

Dalam tempoh itu, Reedzwann atau nama sebenarnya, Muhamad Khairol Ridhuan Khairol Husni,25,memilih untuk pulang ke kampung di Perak dan menjauhkan diri daripada orang ramai.

Kini, selepas kembali dengan semangat baharu, Reedzwann membuka cerita mengenai tekanan, kecaman serta proses bangkit yang dilalui, selain menjelaskan bagaimana pengalaman tersebut membentuk dirinya sebagai seorang insan dan anak seni.

Selepas apa yang berlaku, bagaimana kehidupan anda berubah?

Kehidupan saya berubah secara drastik. Kalau dulu saya seorang yang sangat aktif, ceria dan boleh dikatakan ‘hyper’, saya jadi pendiam. Saya memilih untuk mengasingkan diri, duduk di kampung di Perak, dan banyak berkurung dalam bilik. Orang yang kenal saya memang perasan perubahan itu, sebab saya bukan diri saya yang dulu. Untuk cari semangat semula bukan sesuatu yang mudah.
Apa yang berlaku sangat memberi kesan kepada mental. Saya rasa kosong, hilang arah. Jadi, saya ambil keputusan untuk jauhkan diri daripada orang ramai. Kadang-kadang kita perlukan ruang untuk rawat diri sendiri, walaupun caranya nampak ekstrem.

Adakah ketika itu anda masih berhubung dengan rakan-rakan atau pihak industri?

Tidak. Pihak pengurusan pun tidak dapat hubungi saya. Rakan-rakan pun tidak. Saya hanya bergaul dengan adik-beradik sahaja. Itu pun minimum. Saya betul-betul asingkan diri.

Ramai mempersoalkan tindakan anda, lebih-lebih lagi ketika kerjaya sedang memuncak. Apa pandangan anda?

Memang betul, waktu itu kerjaya saya sedang cantik. Tahun 2023 boleh dikatakan antara fasa terbaik saya. Dalam tempoh lima tahun, saya sudah capai kestabilan. Saya sendiri sayang kerjaya saya. Tapi saya terpaksa pilih untuk berhenti seketika. Kalau saya teruskan juga, mungkin saya tidak akan mampu bertahan daripada segi mental. Bagi saya, kata-kata orang yang paling sakit. Ada yang tanya saya, ‘kenapa awak tak mati?’Bayangkan soalan macam itu. Saya pernah aktif buat siaran langsung di TikTok, tapi saya berhenti sebab tidak sanggup baca komen-komen begitu. Ia bukan sekadar kecaman, tapi serangan yang sangat peribadi.

Adakah kecaman itu mempengaruhi keputusan anda untuk berdiam diri?

Ya, sangat. Saya sedar kalau saya melawan atau menjawab, keadaan akan jadi lebih buruk. Saya anggap macam api, kalau kita tambah bahan bakar, ia akan marak. Jadi, saya pilih untuk diam. Biar ia reda sendiri. Saya sedar, ada yang menyokong, ada yang memahami. Tapi dalam masa sama, ramai juga yang menjatuhkan. Apabila terlalu banyak kata-kata negatif, sokongan yang ada pun jadi tenggelam. Malah, bukan orang luar sahaja, keluarga sendiri pun ada yang salah faham.

Apabila keluarga sendiri tidak memahami, bagaimana anda hadapinya?

Itu yang paling berat. Apabila kita rasa tiada tempat untuk bersandar. Jadi saya ambil keputusan untuk undur diri. Bukan sebab benci, tapi sebab saya tidak mahu keadaan jadi lebih teruk. Kadang-kadang, diam itu lebih baik daripada terus bersuara tetapi tidak didengari. Jadi, saya banyak dekatkan diri dengan Tuhan. Apabila manusia tidak mampu dengar, kita mengadu pada Tuhan. Saya pujuk diri sendiri, ingatkan diri Tuhan tidak kejam. Apa yang berlaku pasti ada hikmah.

Siapa yang membantu anda bangkit semula?

Pihak Rusa Music. Mereka banyak membantu saya, beri kepercayaan dan peluang. Saya anggap mereka seperti keluarga kedua. Mereka yang tarik saya keluar daripada keadaan itu.
Selain itu, saya pegang satu prinsip, ‘Tidak mengapa, Allah tidak tidur’. Allah melihat dan mengetahui segalanya. Itu yang buat saya kuat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN