Hisham memandu dengan penuh berhati-hati. Matanya tekun melihat ke arah jalan tanah merah yang menuju masuk ke kampungnya. Dia toleh ke arah jam di papan pemuka kereta, sudah menunjukkan hampir 1 pagi.
Rasanya dalam empat kilometer lagi barulah dia sampai ke rumah. Dia mengeluh perlahan. Kalaulah bukan disebabkan ada sakit atau kematian, mati hidup semula pun dia tidak akan balik di waktu begini.
Dia menekan pedal minyak perlahan sebaik sahaja melalui jalan kecil bersalut tanah merah itu. Sesekali matanya liar memandang ke luar tingkap. Hanya suasana gelap pekat dan bunyi unggas dan cengkerik yang kedengaran.
Memang sudah jadi kebiasaan apabila sudah lewat malam lorong masuk ke kampungnya akan bertukar menjadi sunyi sepi, jika ada pun hanyalah sebuah dua motosikal dari arah pekan.
Hisham pulang pun kerana dapat panggilan telefon daripada adiknya pagi tadi yang memberitahu ayah saudaranya, Ulung Deris jatuh di baroh dan tidak sedarkan diri. Kata adiknya, Ulung Deris terus dibawa ke hospital, tetapi doktor sahkan hanya pengsan biasa.
Selepas pulang ke rumah, sekali lagi Ulung Deris tidak sedarkan diri. Kali ini situasinya lebih teruk. Mulutnya berbuih sambil meracau. Kata adiknya, Ulung Deris meracau dalam bahasa Jawa yang langsung tidak mereka fahami.
Ikutkan hati dia memang malas hendak pulang, tetapi apabila fikirkan Ulung Deris banyak jasa kepada keluarganya terus dia ubah fikiran. Ulung Deris ini bukan sahaja rapat dengan mereka, malah dia juga bomoh terkenal di kampung. Pendek kata, kalau ada hal sakit pening memang Ulung Derislah yang menjadi rujukan.
Ketika membelok masuk ke laluan kecil di simpang kampungnya, tiba-tiba dia terperasan satu sosok sedang berdiri di tepi jalan membelakangkannya. Nampak jelas sosok seorang lelaki itu memakai kain pelikat dan mengenakan kemeja putih yang tidak dibutang.
Hisham perlahankan kenderaan dan sebaik sahaja dia menghampiri lelaki tersebut, terus dia turunkan cermin tingkap keretanya.
“Assalamualaikum, pak cik hendak ke mana? Sapa Hisham sambil memberhentikan keretanya.
Dan sebaik sahaja lelaki separuh abad itu menoleh ke arahnya, Hisham terkejut.
“Laa… Ulung Deris ke? Saya ingatkan siapalah tadi,” kata Hisham ramah.
Ulung Deris memandangnya tanpa sepatah kata. Nampak dahinya berkerut seolah memikirkan sesuatu. Hisham pelik, takkanlah Ulung Deris tidak mengenalinya pula.
“Eh, Pak Ulung, ini sayalah Hisham anak Andak Seman,” kata Hisham sambil menekan punat lampu di bumbung kenderaan.
Lelaki tua itu menganggukkan kepala sambil tersengih. Nampak barisan giginya yang kuning tidak tersusun.
“Pak Ulung hendak ke mana ini? Mari saya tolong hantarkan,” sambung Hisham lagi.
Lelaki tua itu tidak menjawab, namun dia meluruskan tangannya ke arah hadapan seakan memberi isyarat yang dia ingin menuju ke arah tersebut. Pantas Hisham membuka pintu kereta dan mempersilakan lelaki tua itu masuk.
“Alhamdulillah, sihat juga Pak Ulung akhirnya. Saya balik ini pun sebab si Rahmat beritahu Pak Ulung masuk hospital siang tadi,” kata Hisham ceria.
Ulung Deris tidak membalas kata-katanya. Dia hanya diam sambil matanya tekun memandang ke arah jalan di hadapan.
Hisham sempat menjeling. Nampak wajah pucat Ulung Idris yang sudah berkedut seribu itu. Dia malas hendak bertanya lanjut. Fikirnya mungkin Ulung Deris masih penat dan tidak sihat.
Tiba-tiba Ulung Deris menepuk papan pemuka keretanya, seakan menyuruhnya berhenti. Hisham lantas menekan brek.
Belum pun sempat dia bertanya lanjut, Ulung Deris terus keluar dari keretanya seraya masuk ke arah lorong kecil di pinggir jalan.
Hisham garu kepala. Pelik sungguh dia dengan sikap Ulung Deris. Walaupun dia bukanlah seorang yang banyak cakap, tetapi biasanya dia akan menjawab kalau ditanya.
Namun begitu, dia ada juga dengar cerita daripada orang kampung yang mana Ulung Deris ini ada perangai yang tidak boleh dijangka. Ada ketikanya dia akan menyendiri tanpa suka diganggu. Beberapa kali juga rakan-rakannya terserempak dan menegur Ulung
Deris, tetapi langsung tidak berbalas, malah Ulung Deris merengus dan memandang mereka dengan pandangan tajam.
Ada pula yang kata kononnya yang mereka jumpa itu bukannya Ulung Deris tetapi hantu raya belaannya. Kata mereka lagi, memang sifat hantu raya akan menyerupai tuannya dan dia juga tidak akan menjawab apabila ditanya atau disapa.
Entahlah, Hisham malas meneka yang bukan-bukan. Selama dia mengenali Ulung Deris tak pernah lagi dia mendengar cerita yang kurang baik tentang bapa saudaranya itu, jika ada pun cakap-cakap nakal hanyalah cara perubatannya yang menggunakan mantera dan jampi serapah, selain itu dia tidak pernah dengar lagi cerita-cerita yang kurang enak.
Seperkara lagi Hisham memang tahu perangai bapa saudaranya itu. Memang menjadi kelazimannya akan keluar bersiar-siar mengambil angin di waktu malam, mungkin itu terapinya selepas penat bekerja di kebun pada waktu siang agaknya, jadi disebabkan itulah dia tidak pelik jika terserempak dengan Ulung Deris merayau pada waktu malam.
Hampir 10 minit memandu, kereta yang dipandu Hisham akhirnya memasuki pekarangan rumah orang tuanya. Nampak gelap tanpa sebarang lampu terpasang, barangkali semua ahli keluarganya sedang nyenyak tidur fikirnya.
Selepas mengeluarkan beg pakaian di bonet kereta lantas dia memberi salam. Hampir beberapa ketika menunggu barulah terdengar suara menjawab dari dalam rumah.
“Waalaikumsalam, lah baru sampai kau Hisham. Ayah ingat kau tak jadi balik tadi. Banyak kali juga ayah telefon tadi tapi tak dapat,” kata ayahnya sambil menggulung ikatan kain pelikat yang dipakainya.
Selepas bersalaman, Hisham minta diri untuk masuk ke bilik. Letih benar rasanya memandu lebih lima jam dari bandar ke kampungnya hari ini. Fikirnya esok sahajalah dia berjumpa ibu dan adiknya memandangkan mereka sudah lena dibuai mimpi.-UTUSAN
bersambung…










