Jambatan Guillemard ‘sohor’ kerana YB Bahari

Jambatan Guillemard ‘sohor’ kerana YB Bahari

BAHARI Mohamad Nor (kanan) semasa meninjau pembangunan lokasi berhampiran Jambatan Guillemard diperjuangkan oleh Bahari Mohamad Nor sebagai produk pelancongan baharu di Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERJUANGAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gua Ipoh, Tanah Merah, Kelantan Yang Berhormat Bahari Mohamad Nor mengangkat nama Jambatan Guillemard mungkin dipandang sinis oleh sesetengah pihak.

Mana tidaknya, ramai beranggapan ADUN Gual Ipoh itu sepatutnya memberikan tumpuan kepada perkara-perkara lebih penting terutama dalam aspek kemudahan dan kebajikan rakyat di kawasan berkenaan.

Perkara itu sudah pasti menepati ‘selera’ rakyat selari dengan mandat yang telah diberikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Namun, mungkin ramai yang terlepas ‘pandang’, usaha berterusan Bahari itu mengangkat Jambatan Guillemard sebagai lokasi ‘sohor’ membawa ‘tuah’ apabila semakin mendapat perhatian ramai.

Situasi itu, sekali gus menjadikan melonjakkan Gual Ipoh sebagai ikon pelancongan baharu hasil inisiatif agresif yang digerakkan oleh Bahari sejak dilantik sebagai wakil rakyat dengan memanfaatkan jambatan berusia 104 tahun.

KENAPA JAMBATAN

Bahari berkata, sejak awal bergelar wakil rakyat, Jambatan Guillemard menjadi keutamaan apabila membangkitkan perkara tersebut dalam ucapan sulungnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebagai usaha memartabatkan warisan berusia hampir satu abad itu.

“Jambatan Guillemard mempunyai pelbagai keistimewaan yang tidak terdapat di tempat lain. Antaranya, ia merupakan jambatan kereta api besi terpanjang di Malaysia serta jambatan pertama merentasi Sungai Kelantan yang dibina pada 1920 dan siap pada 1924.

“Ia, menjadi saksi peristiwa penting apabila dibom oleh tentera British pada 9 hingga 12 Disember 1941 bagi menghalang kemaraan tentera Jepun. Dengan usia yang kini mencecah hampir 100 tahun, ia bukan sekadar infrastruktur, tetapi simbol sejarah dan ketahanan yang perlu dipelihara,” ujarnya.

NADI GUAL IPOH

Menurut Bahari, potensi besar yang dimiliki oleh jambatan tinggalan British itu dilihat berjaya mengubah landskap Gual Ipoh yang sebelum ini dilabel sebagai tempat ‘jin bertendang’ atau terpencil.

“Apabila kita angkat nilai sejarah dan keunikan Guillemard, orang mula datang dan mengenalinya. Bermula dari situ kawasan ini kembali hidup.

“Bila Guillemard jadi ‘sohor’, Gual Ipoh turut mendapat limpahan. Ini permulaan kepada kebangkitan kawasan ini,” ujarnya.

Bahari berkata, hasilnya, kawasan sekitar mula menunjukkan perubahan positif dengan pertumbuhan aktiviti ekonomi kecil-kecilan dalam kalangan penduduk setempat.

TUMPUAN PELANCONG

Dalam usaha memperkasa kawasan itu sebagai destinasi pelancongan, Bahari turut merancang pembangunan kemudahan seperti perpustakaan desa, galeri dan surau di sekitar jambatan berkenaan.

Katanya, mencakupi perancangan lain termasuk mendapatkan lokomotif dan gerabak kereta api terpakai untuk dijadikan kafe membaca.

“Selain itu kita turut berusaha meminta Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membuka semula Stesen Sungai Kusial serta membangunkan laluan baharu dari Kota Harmoni ke Guillemard.

“Kerajaan negeri bersama KTMB kini juga sedang berusaha untuk mendaftarkan Jambatan Guillemard sebagai tapak warisan di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya.

TELEFILEM

Usaha mempopularkan jambatan itu ke persada nasional terus digerakan menerusi penerbitan telefilem bertajuk Seteguh Guillemard untuk dijadikan sebagai ikon pelancongan dan warisan Kelantan.

Bahari berkata, pendekatan tersebut merupakan antara strategi penting bagi memperkenalkan keunikan serta nilai sejarah jambatan berkenaan kepada masyarakat lebih luas.

“Saya yakin usaha berterusan begini mampu menjadikan Gual Ipoh sebagai salah satu gaya tarikan baharu di Kelantan selain Dabong, Kuala Krai,” ujarnya.

HAB EKO-PELANCONGAN

Menurut Bahari, Gual Ipoh mempunyai pelbagai potensi alam semula jadi yang mampu mengubah landskap kawasan ini menjadi hab eko-pelancongan pada masa depan menerusi perancangan secara kontrik.

Katanya, kawasan ini memiliki khazanah alam yang masih terpelihara termasuk air terjun segar, lata hujan dan Lata Perkasam yang mampu menarik kehadiran pelancong tempatan dan luar.

“Malah, kawasan mendu­lang emas di Ulu Bertam juga telah diluluskan oleh kerajaan negeri, sekali gus menambah keunikan produk pelan­congan di Gual Ipoh,” katanya.

Bahari berkata, projek Kompleks Sukan Gual Ipoh yang meliputi keluasan 28.224 ekar kini sedang dibangunkan secara berperingkat sebagai pemangkin aktiviti sukan dan rekreasi.

“Sebuah padang telah siap dan sedia digunakan, manakala kemudahan lain sedang ditambah dari semasa ke semasa. Insya-Allah kompleks ini akan dilengkapi dengan trek balapan, astaka, tandas, surau serta pelbagai fasiliti sukan lengkap bagi kegunaan masyarakat,” ujarnya.

Tambah beliau, pembangunan tersebut bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat, malah membuka ruang kepada penganjuran acara sukan berskala besar.

“Gabungan eko-pelancongan dan pembangunan sukan ini dijangka merancakkan ekonomi setempat serta meletakkan Gual Ipoh sebagai destinasi baharu yang berdaya saing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN