Graduan OKU lakar kejayaan di UMT  - Utusan Malaysia

Graduan OKU lakar kejayaan di UMT 

GRADUAN OKU, Wan Nursolehah (kiri) bersama pasangan kembar tak seirasnya, Wan Nurfatihah gembira dapat menamatkan pengajian pada Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-21 di Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kekurangan fizikal yang ada pada dirinya tidak menghalang Wan Nursolehah Wan Mohd. Fauzi, 25, menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, hari ini.

Lebih menggembirakan, pasangan kembar tak seirasnya iaitu Wan Nurfatihah turut melakar kejayaan sama dan diraikan dalam Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-21, hari ini.

Wan Nursolehah adalah graduan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengalami kecacatan kategori fizikal disebabkan tangan kiri dan kaki kirinya pendek. 

Namun pasangan kembarnya Wan Nurfatihah dilahirkan normal.

Wan Nursolehah berkata, mereka berdua memiliki minat yang sama dalam bidang psikologi dan sepakat untuk meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Kaunseling di UMT.

“Memang kadang-kadang ada rasa kurang yakin dan malu berdepan dengan orang ramai yang sempurna namun saya bersyukur kerana masih diberikan nikmat kasih sayang dari keluarga dan rakan seperjuangan tanpa membezakan fizikal saya.

“Emak pesan agar saya yakin dan reda dengan pemberian Allah. Pesan emak akan sentiasa saya semat dihati sampai bila-bila. Sejak dulu saya berazam mahu jadi lebih baik daripada kakak (kembar). 

 “Malah, saya selalu menjadikan kakak sebagai pembakar semangat dan sumber inspirasi untuk kami belajar dalam bidang yang sama dan selalu bersaing untuk mendapat markah paling tinggi setiap kali peperiksaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pasangan kembar tersebut adalah  antara 2,388 graduan UMT yang diraikan di Majlis Konvokesyen UMT kali ke-21.

Wan Nursolehah berkata, kesukaran menyesuaikan diri di kampus antara cabaran yang perlu dilalui kerana jarak kolej kediaman dengan fakultinya agak jauh.

“Alah bisa tegal biasa, kakak dan rakan-rakan yang lain sentiasa membantu saya sepanjang pengajian, pihak universiti juga sangat prihatin dengan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk OKU.

“Saya berharap agar lebih ramai OKU di luar sana tidak patah semangat untuk terus menimba ilmu demi masa depan yang lebih cerah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya