KERJASAMA strategik antara universiti dan pihak industri menerusi pelaksanaan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dilihat mampu menjadi nilai tambah kepada graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Melalui kerjasama ini, pelajar dapat didedahkan dengan pengalaman industri sebenar, latihan praktikal serta pembelajaran berasaskan kompetensi yang selari dengan kehendak majikan.
Realitinya, masih terdapat graduan yang berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan walaupun memiliki kelayakan akademik yang baik. Situasi ini berlaku apabila wujud ketidaksepadanan antara ilmu teori yang dipelajari dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri.
Majikan pada hari ini lebih cenderung memilih graduan yang mempunyai keupayaan komunikasi, pengalaman praktikal, kemahiran menyelesaikan masalah serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan persekitaran kerja.
Disebabkan itu, pendekatan dual certification yang menggabungkan kelayakan akademik bersama pensijilan kemahiran seperti SKM menjadi satu kelebihan kepada graduan.
Pendekatan ini membantu pelajar memperoleh pengiktirafan akademik dan kemahiran secara serentak sekali gus meningkatkan tahap kompetensi mereka dalam bidang masing-masing.
Dalam era Revolusi Industri 4.0 dan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), industri kini memerlukan graduan yang lebih fleksibel, kreatif dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
Oleh itu, kerjasama erat antara universiti dan industri amat penting bagi memastikan kurikulum dan latihan yang ditawarkan sentiasa relevan dengan kehendak pasaran kerja.
Pendidikan TVET perlu terus diperkasakan sebagai platform pembangunan modal insan negara dalam melahirkan tenaga kerja yang mahir, kompeten dan berdaya saing.
Kerjasama strategik antara universiti dan industri menerusi program latihan SKM bukan sahaja mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk memperluaskan akses pendidikan kemahiran kepada seluruh anak Malaysia termasuk dalam bidang bukan teknikal.
Sudah tiba masanya masyarakat melihat TVET sebagai antara pemacu utama pembangunan negara dan bukan lagi sekadar laluan alternatif dalam sistem pendidikan negara. – UTUSAN
DR. MUHAMAD FIKRI AZIZ
Pusat Bertauliah Akademi Dalam Industri (ADI), Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM)










