BINTULU: Beberapa nama sudah pun dikenal pasti untuk dicalonkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Bagaimanapun, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata nama-nama calon yang sudah dikenal pasti itu kini dalam proses penapisan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kita ada beberapa nama dan senarai ini sedang ditapis oleh pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ini kerana kita mahukan calon yang mempunyai rekod baik dan bersih. Yang pastinya calon PBB/GPS nanti adalah orang tempatan, komuniti Vaie,” ujarnya dalam satu sidang akhbar selepas hadir di Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) 2023 Zon Utara di Dewan Suarah Bintulu, semalam.
Selain itu katanya, faktor umur juga diambil kira dalam pemilihan nama calon yang bakal dipertandingkan bagi mengambil kira komposisi pengundi.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Jepak, Sarawak pada 4 November ini.
Timbalan Pengerusinya, Dr. Azmi Sharom berkata, tarikh penamaan calon pula pada 21 Oktober, manakala undi awal ditetapkan pada 31 Oktober 2023 dengan sejumlah 22,804 pemilih terlibat dengan peruntukan kos kira-kira sebanyak RM2 juta.

Kerusi DUN Jepak diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.
Talib, 72, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 5.50 petang ekoran komplikasi buah pinggang setelah dimasukkan ke pusat perubatan sehari sebelumnya.
Allahyarham ialah penyandang kerusi DUN Jepak di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.-UTUSAN










