SEJUJURNYA Poklip sangat mengagumi semangat, kecekalan dan kekuatan penyanyi, Ernie Zakri. Bagaimana dia tetap berpegang kepada bakat sendiri, walaupun perjalanan yang ditempuhi sungguh berliku.
Tetapi baru-baru ini, dia ada meluahkan pernah satu ketika, hampir saya dia menyerah kalah kerana perasaan seolah-olah ditiadakan, ditolak dan dipinggirkan mula menguasai perasaan serta hatinya sendiri.
Lantas Poklip terfikir, jika Ernie pada ketika itu mengikut kata hati, adakah kita akan kehilangan seorang bintang yang pada hemat Poklip, antara penyambung legasi penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza?
Bukan apa, ramai sahaja sebenarnya artis yang merajuk dengan industri seni. Sebab itu ada sahaja rakan selebriti yang lebih mudah buat duit menerusi media sosial dan perniagaan sendiri sahaja.
Sudahlah bayaran pun kecil, sering dibanding-bandingkan. Ada juga yang terasa kerana mereka yang tidak berbakat diagung-agungkan sehingga terlupa kewujudan insan-insan yang punya cinta seni.
Tetapi itu kan soal rezeki? Poklip bukan hendak pertahan golongan tersebut, tetapi kalau bab rezeki ini, bukan kerja kita. Apa yang boleh kita buat adalah terus berusaha dan jangan mudah mengalah.
Berbalik kepada Ernie, Poklip sendiri juga tertanya-tanya apakah yang membuatkan dia hampir berputus asa? Adakah kerana dia lambat panas? Atau ketika bakat dan kemampuannya dinafikan?
Biarpun di mata kasar kita termasuk Poklip sendiri, dia seorang yang tetap teguh berdiri tetapi hakikatnya, ada ketika dia juga seperti manusia lain, ada keraguan dalam hati. Sampai hendak berhenti menyanyilah.
Nasib baik dia simpan niat tersebut dan lihatlah, kini dia bakal melahirkan album kedua, Aura. Poklip sudah dengar tau. Memang mega! Pemilihan lagu, permainan vokal dan warna emosi yang ada cukup.
Poklip harap, bukan sahaja Ernie tetapi anak seni lain tidak mudah patah semangat. Bak kata rockers dahulu kala, hidup ini keras Roy!