Empangan Sabo, RTB kurang impak banjir di Baling

Empangan Sabo, RTB kurang impak banjir di Baling

KAYU pokok yang hanyut sehingga memusnahkan beberapa infrastruktur seperti titi konkrit di sepanjang Sungai Kupang ketika banjir baru-baru ini di Kampung Iboi, Baling. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pembinaan dua buah empangan Sabo di Kampung Iboi, Baling dekat sini bagi memperlahankan aliran air Sungai Kupang dari Gunung Inas yang sekali gus mampu mengurangkan impak banjir kini dalam proses penilaian tender.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, proses itu sedang dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di mana kedua-dua empangan berkenaan akan membabitkan kos RM20 juta.

“Empangan Sabo itu bertujuan untuk menyekat bahan-bahan yang hanyut bersama aliran air deras seperti kayu dan bongkahan batu yang boleh memusnahkan penempatan penduduk,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Rabu lalu, kira-kira 650 mangsa dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Baling ekoran banjir yang berlaku selain menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur di beberapa kawasan di daerah itu termasuk kediaman penduduk yang dimasuki lumpur.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri telah mengadakan mesyuarat khas bersama pelbagai agensi berkaitan di bawah Kerajaan Persekutuan pada Ahad lalu bagi membincangkan langkah menangani kesan banjir di daerah itu.

Katanya, selain pembinaan dua empangan tersebut, perkara lain yang diputuskan pada mesyuarat tersebut termasuk pelaksanaan rancangan tebatan banjir (RTB) Baling yang melibatkan tiga fasa.

Katanya, proses mengeluarkan tender bagi RTB Baling Fasa 1 dengan kos RM15 juta dijangka diselesaikan pada Februari tahun depan, manakala RTB Baling Fasa 2 dengan kos RM160 juta kini dalam proses penilaian tender.

“RTB Baling Fasa 3 pula dalam proses penyediaan kerta kerja untuk diangkat dalam permohonan bencana Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12),” katanya.

Tambah Muhammad Sanusi, Pejabat Daerah Baling akan membaiki atau membina semula tiga buah titi di Kampung Padang Empang, Kampung Tanjung dan di jalan Kampung Iboi yang musnah atau rosak akibat banjir baru-baru ini.

Selain itu kata beliau, kerosakan cerun atau tanah runtuh yang dilaporkan berlaku di Kampung Kepala Bukit, Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah dan di Kampung Tualang juga akan diambil tindakan.

“Sebuah jambatan baharu akan dibina di Kampung Padang Cina dengan kos RM3 juta, selain itu sebanyak sembilan titi konkrit akan dibina atau dibaiki di beberapa buah kampung. Kesemua projek ini di bawah tanggungjawab Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Negeri Kedah,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sedang memberikan perhatian terhadap banyak aduan kerosakan infra termasuk tebing runtuh yang berlaku di beberapa lokasi di Baling di mana berdasarkan penilaian kos membaik pulih kerosakan dan tebing runtuh itu dianggarkan sebanyak RM5.6 juta. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya