KLANG: Hujan lebat yang melanda sebahagian besar Klang Utara khususnya di Meru menyebabkan kawasan tersebut ditenggelami air pada paras sekurang-kurangnya 0.6 meter.
Antara lokasi yang terjejas seperti Jalan Teratai, Jalan kenangan, Jalan Cempaka, Jalan Haji Salleh, Taman Orkid, Persiaran Hamzah Alang, Jalan Kasban dan Jalan Abdul Manan.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam media sosial, rata-rata penduduk mendakwa hujan lebat turun sejak petang semalam menyebabkan banjir sejak tengah malam tadi.
Keadaan itu turut menyebabkan kesesakan berlaku di Pekan Meru selepas terdapat beberapa lampu isyarat tidak berfungsi dan jalan-jalan utama digenangi air termasuk kawasan komersial dan perindustrian di sana.
Semakan Utusan Malaysia di laman Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati terdapat dua batang sungai di daerah ini diletakkan pada paras amaran dan bahaya pada pukul 7.15 pagi tadi.
Sungai terbabit adalah Sungai Rasau yang mencatatkan paras air 3.90 meter dan Sungai Binjai yang merentasi pekan Meru menunjukkan bacaan paras air 4.66 meter.
Sementara itu, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor melaporkan beberapa kawasan lain di Sungai Buloh dan Pinggiran Subang, Shah Alam serta Bestari Jaya, Kuala Selangor turut dilanda banjir.
Kawasan terjejas iaitu Kampung Melayu Subang, Kampung Kubu Gajah, Kampung Sri Aman dan Taman Saujana Aman yang menyebabkan 88 keluarga yang merangkumi lebih 400 mangsa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS).
“Bomba membuka Pos Kawalan Hadapan (PKH) di PPS Sekolah Merbau Sempak, Sungai Buloh. Dua PPS di buka iaitu di lokasi berkenaan dan PPS Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Desa Coalfields.
“Di Merbau Sempak, sebanyak 77 keluarga ditempatkan di sana termasuk 161 kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan bayi. Sementara di Desa Coalfields, 11 keluarga ditempatkan di sana termasuk 14 kanak-kanak dan warga emas,” katanya, hari ini. – UTUSAN










