KLANG: Kerajaan akan menghulurkan bantuan sebanyak RM1,500 kepada setiap keluarga yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengurusan Bencana Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, RM1,000 disumbangkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) manakala RM500 lagi oleh kerajaan negeri.
Menurutnya, mereka yang tidak tinggal di PPS pula akan diberikan bantuan sebanyak RM250 oleh kerajaan negeri.
“Saya berharap wang bantuan itu dapat membantu sedikit mangsa melakukan kerja pembaikan barang mereka yang rosak akibat bencana tersebut. Nanti kita akan maklumkan bagaimana bantuan itu diagihkan,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan beberapa kawasan di daerah Klang, Kuala Selangor dan Petaling dilanda banjir kilat disebabkan hujan lebat.
Disebabkan bencana itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menyelamatkan sekurang-kurangnya 400 orang mangsa di kesemua kawasan ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, PPS di daerah Kuala Selangor, iaitu di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) ditutup sejak semalam selepas kesemua 54 orang mangsa yang berlindung di pusat ini dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih lagi buka dua buah PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak, Sungai Buloh dan SK Sungai Binjai Meru, Klang.
“Seramai 635 orang mangsa yang daripada 163 buah keluarga yang masih mendapatkan perlindungan di dua pusat ini,” ujarnya. – UTUSAN










