Ebit Lew dapat perintah injunksi terhadap Caprice, Mondy

Ebit Lew dapat perintah injunksi terhadap Caprice, Mondy

EBIT LEW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Ebit Lew memperoleh perintah injunksi terhadap penyanyi rap, Caprice dan pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tattoo bagi menghalang mereka daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang mencemarkan reputasi atau berbentuk ugutan terhadap penceramah itu, keluarga dan rakan-rakannya.

Perintah injunksi interim (sementara) yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 5 Oktober lalu turut mengarahkan Caprice dan Mondy untuk memadamkan satu rakaman di laman Youtube Nustix.com The Podcast Show dan lima video di Instagram penyanyi rap itu.

Kesemua video dan rakaman itu hendaklah dipadamkan dalam tempoh 24 jam selepas perintah injunksi sementara itu dikeluarkan. 

Bagaimanapun, semakan di laman Youtube dan Instagram tersebut mendapati kesemua video terbabit masih disiarkan.

Pada 26 September lalu, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew memfailkan saman fitnah terhadap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli dan Mondy  atau nama sebenarnya, Dita Restu Amanda.

Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, Ebit selaku plaintif memberitahu beliau mula mengenali Mondy ketika menjalankan aktiviti kemanusiaan di Jakarta, Indonesia pada 7 Jun lalu.

Pada ketika itu, wanita terbabit memperkenalkan dirinya sebagai ibu tunggal dan gelandangan kepada pendakwah itu.

Pada 12 Jun lalu, Mondy datang ke Malaysia bagi mempelajari dan mendalami agama Islam di Ma’ahad Ad-Dirasaatil Islamiyyah, Sri Petaling di sini.

Bagaimanapun, Ebit difahamkan bahawa Mondy mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pembelajarannya dan pulang ke Indonesia pada Julai lalu.

Pada 15 September lalu, Caprice memuat naik rakaman siniar (podcast) yang mana Mondy merupakan tetamu jemputan rakaman itu.

Rakaman itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif melakukan gangguan seksual terhadap Mondy, mengambil kesempatan terhadap wanita itu dan merupakan seorang individu yang tidak bertanggungjawab serta penunggang agama.

Dalam tempoh 9 hingga 15 September, Caprice memuat naik pratonton berhubung rakaman siniar tersebut yang turut mengandungi kenyataan-kenyataan berbaur fitnah.

Caprice juga mengeluarkan satu lagi video pada 22 September lalu kononnya Ebit disiasat berhubung dakwaan rogol.

Plaintif mendakwa defendan pertama secara jahat menerbitkan video-video tersebut tanpa membuat sebarang pengesahan fakta daripada plaintif mahupun peguamnya.

Akibat penerbitan video-video tersebut, terlalu banyak komen-komen negatif, cacian dan makian dikeluarkan oleh pengikut akaun Youtube Caprice.

Plaintif turut mendakwa kenyataan-kenyataan berbau fitnah yang dikeluarkan oleh Caprice dan Mondy menyebabkan Ebit dikecam, diejek dan diaibkan.

Oleh itu, selain perintah injunksi kekal terhadap kedua-dua defendan, Ebit turut memohon Caprice dan Mondy membuat permohonan maaf yang akan disiarkan di semua laman sosial dalam tempoh 48 jam selepas kedua-dua individu itu diserahkan dengan perintah termeterai.

Plaintif turut memohon ganti rugi am, teladan, pampasan dan teruk yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah. Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Kes saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Sayani Mohd. Nor pada 18 Oktober ini. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya