Dewan Rakyat: PAC dedah Bernas masih belum salur baki RM25

Dewan Rakyat: PAC dedah Bernas masih belum salur baki RM25 juta dalam ketetapan bayaran obligasi sosial 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) merumuskan syarikat pengimport utama beras negara ini, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) masih belum menyalurkan baki berjumlah RM25 juta daripada RM37 juta sehingga 14 Jun lalu. 

Ia berhubung terimaan dan bayaran obligasi sosial perjanjian konsesi pengurusan industri padi dan beras negara di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 2021.

Perkara itu antara lapan rumusan dalam laporan PAC yang dibentang di Parlimen hari ini. 

Laporan itu dimuat naik di laman sesawang PAC.

Selain itu, laporan tersebut menjelaskan bahawa pengemaskinian data Pembayaran Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) tidak dipantau sepenuhnya oleh kementerian. 

Keadaan itu menyebabkan pengurusan pembayaran SSHP oleh Bernas tidak teratur dan menyebabkan pembayaran sejumlah RM0.73 juta dibuat kepada 300 pesawah yang meninggal dunia. 

“Selain itu, perjanjian konsesi Bernas yang bermula sejak 1996 dan berakhir pada 2011 dilanjutkan sebanyak dua kali yang akan berakhir pada 2031. 

“Perjanjian konsesi ini akan menjangkau tempoh 35 tahun dengan kos konsesi perjanjian ketiga berjumlah RM3.216 bilion yang bermula daripada 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031. 

“Pewujudan akaun amanah bagi penyaluran dana obligasi sosial adalah lebih telus dan efisien berbanding kaedah penyaluran dana tersebut di bawah Tabung Bencana Padi, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

“…Yang mana Jawatankuasa Akaun Amanah Dana Obligasi Bernas di peringkat kementerian diwujudkan bagi memperakui penerimaan dan pengurusan akaun amanah tersebut,” kata laporan itu. 

PAC hari ini diketuai Naib Pengerusi, Wong Shu Qi turut membuat sidang akhbar di Parlimen berhubung perkara berkenaan. 

Sebelum ini, beberapa pihak mempertikai perlanjutan tempoh konsesi Bernas sebagai pengimport tunggal beras negara, namun, kerajaan menegaskan, ia suatu yang tepat bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam keadaan stabil dan terkawal.\

Terdahulu, kerajaan dilaporkan menetapkan 10 obligasi sosial yang perlu dipatuhi Bernas sebagai strategi menjamin sekuriti makanan negara.

Obligasi itu antaranya mengurus stok penimbal beras negara, mengekalkan peranan sebagai pembeli padi terakhir pada harga minimum dan mengurus pembayaran subsidi harga padi serta skim pengilang, pemborong bumiputera dan koperasi petani.

Pada Mac lalu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, kerajaan tidak boleh membatalkan sebarang kontrak pengimportan beras ke negara ini secara unilateral kerana perlu mengambil kira obligasi sosial yang dipersetujui Bernas.

Mengulas lanjut, rumusan itu menjelaskan bahawa penggunaan teknologi terkini iaitu aplikasi Telegram untuk hebahan maklumat Bernas serta pengenalan sistem kad pintar memudahkan pesawah untuk mengemas kini maklumat peribadi pesawah. 

Katanya, laporan indeks prestasi utama (KPI) kementerian pada Julai 2021 adalah bercanggah dengan prestasi sebenar pembekalan jentera Bernas. 

“Penggunaan jentera dan mekanisasi pertanian padi yang tidak diselenggara dengan teratur menyebabkan berlaku kerosakan, namun, berdasarkan paparan Jabatan Audit Negara (JAN), ia dibaiki dan digunakan. 

“Kementerian Pertanian dalam proses penyediaan keperluan kenyataan dan spesifikasi berhubung sistem maklumat dan beras serta pengurusan profil dan nutrisi tanah, bagi membolehkan dana obligasi berhubung pembangunan kedua-dua sistem maklumat tersebut digunakan,” katanya. 

Dalam pada itu, PAC mengemukakan lapan syor antaranya kerajaan perlu mengkaji alternatif dalam menjamin kestabilan industri beras negara bagi mengelakkan kebergantungan kepada perjanjian konsesi Bernas.

Syor PAC, kementerian perlu memantau Akaun Amanah Dana Obligasi Sosial Bernas bagi memastikan segala penyaluran dan penggunaan dana berkenaan mengikut syarat-syarat ditetapkan dalam perjanjian konsesi dan Surat Ikatan Amanah.

“Kementerian hendaklah memastikan Bernas menyalurkan dana obligasi tepat pada masanya selaras dengan perjanjian konsesi Bernas.

“Kementerian, Bernas dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu segera mengintegrasi dan mengemas kini pangkalan data pesawah bagi memastikan pembayaran SSHP dapat dilaksana dengan lebih telus, efisien dan teratur,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya