KUALA LUMPUR: Persoalan seorang pengguna media sosial mengenai sama ada golongan artis dan selebriti menunaikan solat atau tidak telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penggiat seni tempatan.
Menerusi hantaran yang tular di media sosial, individu tersebut meluahkan rasa ingin tahu tentang rutin ibadah golongan artis yang sering dilihat sibuk dengan jadual kerja padat, khususnya ketika terlibat dalam acara hiburan besar dan penggambaran.
“Tertanya-tanya golongan artis ini sama ada penyanyi, pelakon dan sebagainya, adakah mereka solat atau tidak sebenarnya?
“Cuba bayangkan, penyanyi yang terlibat dalam Anugerah Juara Lagu (AJL), persembahan bermula pukul 9 malam, tetapi sejak petang sudah bersolek. Bagaimana dengan solat Maghrib?
“Selepas tamat persembahan pula ada sidang media. Bagaimana pula dengan solat Isyak? Tidur lewat, bagaimana dengan solat Subuh? Tak akan hanya menunaikan solat Zohor dan Asar sahaja,” tulisnya.
Persoalan itu bagaimanapun dijawab secara terbuka oleh beberapa selebriti yang tampil menjelaskan bahawa tuntutan kerja sebagai anak seni tidak pernah menjadi alasan untuk mengabaikan kewajipan solat.
Pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi, tidak keberatan menjawab persoalan tersebut kerana menganggap penjelasan seperti itu penting bagi mengelakkan salah faham dan fitnah terhadap golongan artis.
“Tidak mengapa, kita jawab kerana mungkin dia tidak tahu dan ini dapat membantu mengelakkan fitnah.
“Kalau saya, selalunya saya akan mengambil wuduk terlebih dahulu, kemudian barulah bersolek.
“Bagi lelaki, ia lebih mudah dan apabila masuk waktu, kami boleh terus menunaikan solat walaupun solekan belum siap sepenuhnya,” ujarnya di Threads.
Selain itu, pelakon dan pemuzik, Eric Fuzi turut membalas komen dan berkata, dia memahami persoalan tersebut, namun menegaskan bahawa tidak semua artis mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
“Maaf, bukan untuk menunjuk-nunjuk atau riak, tetapi untuk mengelakkan fitnah. Kebetulan, saya mempunyai video ini (merujuk hantaran video) dalam telefon yang dirakam oleh anak Achoi.
“Semoga kita semua istiqamah dalam menjaga solat. Tidak dinafikan, ada masa kita terlepas solat dan ada masa kita menjaga solat dengan baik.
“Kita semua manusia yang penuh dengan kekhilafan, tetapi tidak salah untuk kita saling mengingatkan,” katanya.
Tidak cuma Eric, penyanyi dan komposer, Sissy Imann pula berkongsi bahawa dia sentiasa memastikan diri berada dalam keadaan berwuduk sebelum memulakan solekan bagi sesuatu persembahan.
“Kalau saya, selalunya memang akan mengambil wuduk sebelum bersolek.
“Apabila masuk waktu solat, saya hanya perlu memakai telekung dan terus menunaikan solat,”katanya.
Pelakon, Ika Nabella turut menegaskan bahawa imej seseorang artis, sama ada bertudung atau tidak, bukanlah ukuran kepada tahap keimanan dan ibadah mereka.
“Kami tetap solat. Kami mengambil wuduk sebelum bersolek. Walaupun ketika penggambaran dengan solekan yang tebal, kami tetap menunaikan solat.
“Artis yang memakai tudung atau tidak memakai tudung tetap menunaikan solat seperti orang lain.
“Kebiasaannya, artis lelaki dan kru produksi juga menunaikan solat secara berjemaah.
“Artis hanyalah satu kerjaya, sama seperti doktor, guru, peguam, ustaz dan ustazah. Apabila masuk waktu, kami menunaikan solat,”katanya.
Perkongsian beberapa selebriti itu menerima pujian ramai pengguna media sosial yang menyifatkan penjelasan tersebut sebagai satu bentuk dakwah dan mampu menghapuskan persepsi negatif terhadap golongan artis.
Malah, ramai berpendapat kerjaya sebagai selebriti bukanlah penghalang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim, sebaliknya disiplin diri serta kesedaran individu menjadi penentu utama.










