PETALING JAYA: Aktres, Nur Fazura berkongsi rasa terharu apabila anak tunggalnya, Nur Fatima Aisya meluahkan keinginan untuk melanjutkan pengajian di luar negara.
Menurut Fazura, puteri kesayangannya itu berkongsi cita-citanya itu selepas melihat kejayaan abang sulungnya, Dr. Yusrizam yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat Sarjana dalam jurusan Undang-Undang di University of London, United Kingdom.
“Abang saya telah menamatkan pengajian Sarjana Undang-undang (Master of Laws, LL.M), University of London. Tentu sekali Faz merasa amat bangga, terinspirasi dan teruja dengan pencapaiannya.
“Fatima pula sudah mula menanam cita-cita, “Mummy, saya mahu belajar bersungguh-sungguh dan menjadi bijak seperti Pak Long.”
“Masya-Allah, maknanya lebih 500 hari di London nanti. Mommy pula kena bekerja keras dari sekarang,” katanya di Threads.
Fazura turut meluahkan rasa syukur apabila dikurniakan ahli keluarga yang penyayang selain mempunyai peminat yang tidak putus memberi sokongan dalam setiap perjalanan hidupnya.
“Apa pun, Faz bersyukur dikurniakan keluarga yang baik dan penyayang. Akhir kata, saya dengan rendah diri ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kesayangan saya atas ucapan tahniah dan perkongsian rasa gembira ini bersama,” kongsinya.
Terdahulu, pelakon filem Pisau Cukur itu berkongsi momen gembira apabila dirinya berpeluang untuk menghadiri majlis graduasi abang kesayangannya di London.
Selain terinspirasi dengan kejayaan itu, Fazura turut mengimbau momen manis bersama abangnya sewaktu kanak-kanak selepas meluangkan masa bersama.
“Alhamdulillah, lawatan saya ke London pada kali ini sangat bermakna kerana berpeluang meraikan majlis graduasi abang saya dan kami dapat meluangkan lebih banyak masa bersama, persis waktu kanak-kanak dulu,” ujarnya.










