BEIJING: China akan mengharamkan penjualan dron di Beijing dan mewajibkan pengguna memohon kebenaran bagi semua penerbangan di ibu negara itu di bawah peraturan ketat yang berkuat kuasa mulai 1 Mei.
Pegawai memaklumkan, keselamatan awam menjadi alasan bagi peraturan baharu itu, yang turut melarang dron tanpa pemandu (UAV) atau komponen utamanya dibawa masuk ke Beijing.
Platform e-dagang juga akan dilarang menghantar UAV ke Beijing, namun pemilik dron yang melengkapkan pendaftaran nama sebenar sebagai peranti mereka sebelum 1 Mei masih dibenarkan membawa masuk dan keluar dron dari ibu negara.
Pengguna dron di bandar yang mempunyai 22 juta penduduk itu diberi tempoh tiga bulan selepas peraturan baharu berkuat kuasa untuk mendaftarkan peranti mereka di balai polis tempatan.
Beberapa penjual di seluruh bandar itu dilihat mengeluarkan dron daripada ruang pameran lebih awal sebelum perubahan peraturan, menurut pemerhatian AFP kelmarin.
Seorang pekerja di cawangan DJI di pusat Beijing berkata, peranti itu sedang dibungkus untuk dihantar ke bandar lain.
DJI, pengeluar dron terbesra dunia dan pernah dikenakan sekatan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) atas kebimbangan keselamatan, menguasai pasaran China tetapi kini berdepan risiko dipinggirkan daripada ibu negara sendiri susulan peraturan baharu itu.
Ruang udara bandar itu akan ditutup kepada semua penerbangan dron tanpa kelulusan awal daripada pihak berkuasa, dengan denda sehingga 10,000 yuan (kira-kira RM5,572) bagi penerbangan haram, selain dron berkenaan berkemungkinan dirampas.
Organisasi atau individu yang didapati menjual dron atau 17 komponen terasnya juga akan dikenakan denda di bawah peraturan baharu itu.
Peraturan penyimpanan dron di ibu negara itu turut diperketatkan, dengan individu hanya dibenarkan menyimpan maksimum tiga dron di satu lokasi dalam lingkungan jalan lingkaran keenam Beijing.- AFP










