KANGAR: Pengusaha khususnya dalam bidang pertanian, perikanan dan industri asas tani yang menjadi tunjang ekonomi setempat disaran memanfaatkan perkhidmatan Ar-Rahnu Agrobank dengan sebaiknya.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perkhidmatan Ar-Rahnu Agrobank yang diperkenalkan sebagai projek perintis di Kuala Perlis menyediakan akses tunai secara pantas, mudah dan patuh syariah.
Titah baginda, ia sekali gus menyokong kelancaran urusan harian di samping memperkukuh kestabilan ekonomi komuniti.
“Pembukaan cawangan baharu Agrobank di Kuala Perlis turut menawarkan pelbagai perkhidmatan lain dalam memperkukuh ekosistem kewangan negeri ini.
“Pendekatan ini mencerminkan usaha bersepadu membentuk masyarakat celik kewangan, progresif serta berdaya tahan dalam menghadapi arus perubahan semasa,” titah baginda merasmikan cawangan baharu Agrobank Kuala Perlis di Taman Putra Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), di sini semalam.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda, Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah bersama Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pembukaan cawangan baharu Agrobank di Kuala Perlis itu bakal membuka lebih banyak peluang buat komuniti setempat menikmati kemudahan pembiayaan yang inklusif, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi serta memperkasa potensi kawasan berkenaan sebagai salah satu pintu gerbang utama negeri ini.
“Langkah tersebut turut menggambarkan komitmen padu dalam mempertingkat pembangunan modal insan. Akses lebih luas kepada sokongan kewangan mampu mencorakkan masa depan generasi muda agar lebih berpengetahuan, berkeupayaan tinggi serta bersedia mengharungi cabaran,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin turut menyeru lebih banyak pihak tampil dan mengorak langkah bagi menjalinkan kerjasama strategik seumpama ini.-UTUSAN










